Graduan LZS Kohort 2 Meneruskan Obor Keilmuan dalam Majlis Graduasi SPKS

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra) telah menganjurkan Majlis Graduasi Sijil Profesional Khidmat Sosial (SPKS) ke-2 di Dewan Perdana FSSK bagi meraikan kejayaan 17 orang graduan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berjaya menamatkan pengajian bagi Kohort 2.

Majlis ini dianjurkan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha para peserta dalam memperkukuh kompetensi profesional dalam bidang kerja sosial, khususnya dalam mendepani cabaran pengurusan kebajikan masyarakat dan penyampaian perkhidmatan kepada golongan memerlukan.

Dalam majlis tersebut, Abdul Halim Abu Bakar telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kategori Lelaki, manakala Roslinda Yahya menerima anugerah Pelajar Terbaik Kategori Perempuan sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan akademik dan komitmen sepanjang mengikuti program.

Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub dalam ucapannya, menegaskan bahawa program seperti SPKS bukan sahaja melahirkan pegawai yang berkemahiran, malah membentuk pemikir yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kita bukan sekadar melahirkan pegawai-pegawai kerajaan, malah kita juga melahirkan seorang pemikir yang akan membantu kita membina sebuah negara yang cemerlang, untuk negara, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau turut menyeru para graduan agar terus membawa obor keilmuan dan pengalaman yang diperoleh untuk dicurahkan sebagai bakti kepada negara yang tercinta. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Tuan Mohd Khaidzir Shahari, berharap agar ilmu yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan dalam melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi.

“Semoga segala ilmu yang ditimba di dalam FSSK UKM menjadi bekalan dalam melaksanakan amanah, menyantuni golongan asnaf serta pembayar zakat di Selangor dengan penuh dedikasi dan integriti,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, penganjuran Majlis Graduasi SPKS Kohort 2 ini mencerminkan komitmen berterusan FSSK dalam memperkasa pembangunan kompetensi profesional dalam bidang kerja sosial, di samping menyokong usaha melahirkan tenaga kerja yang berintegriti, berempati dan berdaya saing dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »