Hari Puisi Melayu 2026 Semarakkan Apresiasi Sastera dan Warisan Melayu

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Program Persuratan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Hari Puisi Melayu 2026 di Dataran Dewan Perdana FSSK bagi menyemarakkan apresiasi terhadap puisi Melayu serta memperkukuh kecintaan terhadap warisan bahasa, sastera dan budaya bangsa.

Penganjuran program oleh pelajar Tahun 1 Program Persuratan dan Kebudayaan Melayu ini bertujuan memartabatkan puisi Melayu sebagai medium ekspresi seni, pemikiran dan jati diri bangsa, di samping menggalakkan penglibatan warga kampus dalam menghayati khazanah kesusasteraan Melayu yang kaya dengan nilai, falsafah dan kebijaksanaan tempatan.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program berlangsung, antaranya pameran hasil karya dan pengenalan tokoh-tokoh Sasterawan Negara, persembahan puisi, deklamasi puisi terbuka serta nyanyian lagu puisi. Program ini turut menyaksikan penyertaan seramai 88 orang pelajar yang mendeklamasikan puisi, selain penglibatan 12 orang barisan pengurusan tertinggi fakulti yang bersama-sama memeriahkan sambutan melalui penghayatan karya puisi Melayu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar usaha memperkukuh warisan budaya dan kesusasteraan Melayu terus diperkasakan oleh generasi muda. Menurut beliau, khazanah sastera seperti puisi, syair, pantun dan pelbagai bentuk karya tradisional Melayu perlu terus dipelihara, dihargai dan diwariskan agar kekal relevan merentas zaman serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Hari Puisi Melayu 2026 membuktikan bahawa puisi masih mempunyai tempat yang istimewa dalam masyarakat dan mampu menjadi medium yang menyatukan warga fakulti melalui penghayatan bahasa dan seni. Selaras dengan tema “Puisi Melayu Wadah Kebitaraan Melayu” program ini berjaya mengangkat puisi sebagai lambang keunggulan bahasa, pemikiran dan budaya Melayu yang wajar terus dipelihara dan dimartabatkan.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »