Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Seminar Keselamatan, Anti-Rasuah dan Penguatkuasaan (SAFE) 2026 di Dewan Perdana FSSK.
Penganjuran seminar ini bertujuan menghimpunkan agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan aspek keselamatan, pencegahan rasuah dan penguatkuasaan. Seminar ini turut menjadi platform wacana akademik dan profesional yang memperkukuh perkongsian ilmu, pengalaman serta perspektif praktikal antara agensi berkaitan dengan mahasiswa. Melalui penganjuran SAFE 2026, FSSK terus memperkukuh peranan dalam menghubungkan dunia akademik dengan amalan profesional, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa memahami cabaran sebenar yang dihadapi oleh agensi keselamatan dan penguatkuasaan dalam mendepani isu-isu kontemporari.
Antara pengisian utama seminar ialah forum bertajuk “Safeguarding the National Interests of Malaysia and Indonesia amid Contemporary Geopolitical Turmoil” yang disampaikan oleh Pro-Canselor HELP University merangkap Felo Kehormat MPAT, Laksamana Pertama Prof. Dato’ Dr. Zakaria Hj Ahmad (TLDM) dan Pensyarah Institut Pemerintahan Dalam Negeri (IPDN), Indonesia, Prof. Dr. Nurliah Nurdin. Forum tersebut mengupas cabaran landskap geopolitik semasa serta kepentingan kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam memelihara keselamatan dan kepentingan nasional.
Seminar turut diteruskan dengan sesi pembentangan daripada wakil agensi penguatkuasaan yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Perkongsian yang disampaikan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai peranan, cabaran dan amalan terbaik setiap agensi dalam memperkukuh sistem keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta pemerkasaan integriti dalam perkhidmatan awam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Siswazah FSSK, Prof. Madya Dr. Azlan Abas. Dalam ucapannya, beliau berharap agar seminar ini menjadi wadah yang mampu memperkukuh jaringan strategik antara institusi akademik dan agensi keselamatan serta penguatkuasaan, di samping menjadi platform untuk mencari pendekatan terbaik dalam memartabatkan tadbir urus yang bersih, berintegriti dan cekap demi kepentingan negara.
Turut hadir ialah Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), Laksamana Mohd Shariman Ishak, Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan, Maktab PDRM Kuala Lumpur, YDH SAC Wan Kamarul Azran Wan Yusof, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, TS Dr. Azmi Awang dan Pengarah SAFE 2026, Dr. Muein Abadi.
Melalui penganjuran SAFE 2026, FSSK komited untuk memastikan platform ini terus subur dan berterusan pada masa akan datang agar ia menjadi suatu rantaian kerjasama strategik bersama agensi-agensi penguatkuasaan teras negara dan wadah bagi pemantapan nilai integriti secara holistik.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK