Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) telah menerima kunjungan waris Allahyarham Tun Fatimah Hashim bersama wakil Yayasan Kadir & Fatimah dalam satu sesi pertemuan dan perbincangan strategik yang berlangsung di Bilik Majlis, Aras 5, Bangunan Canselori, UKM dan di Galeri Tun Fatimah Hashim, UKM
Pertemuan yang julung kali diadakan sejak penubuhan Galeri Tun Fatimah Hashim pada 25 Jun 2013 ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara PKWTFH dan Yayasan Kadir & Fatimah di samping membincangkan hala tuju galeri sebagai wadah pemeliharaan legasi, dokumentasi sejarah dan pemerkasaan kepimpinan wanita di Malaysia. Pertemuan ini turut menjadi signifikan susulan penstrukturan semula PKWTFH yang kini diletakkan di bawah pentadbiran FSSK.
Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA Malaysia), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dalam ucapannya berkongsi pengalaman sepanjang berkhidmat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memperjuangkan pelbagai dasar yang berkaitan dengan pemerkasaan wanita. Beliau menyentuh usaha memperkukuh perlindungan terhadap hak wanita, termasuk pindaan perlembagaan bagi memastikan tiada diskriminasi berasaskan gender serta menggalakkan penyertaan wanita dalam sektor awam dan kepimpinan negara.
Menurut beliau, perjuangan tersebut banyak diinspirasikan oleh Allahyarham Tun Fatimah Hashim yang disifatkan sebagai tokoh perintis dalam memperjuangkan kedudukan wanita di Malaysia.
“Tun Fatimah Hashim was an icon. She opened the door for women in politics and in all walks of life. She was not only the Minister of Welfare or the leader of Wanita UMNO, but the spirit that inspired women like me to move forward and become part of the nation’s development and vision,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub berkata, PKWTFH telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi impak besar dalam memperkasa kepimpinan wanita di pelbagai peringkat masyarakat.
Beliau menjelaskan bahawa usaha tersebut selaras dengan aspirasi pusat berkenaan untuk membangunkan potensi kepimpinan wanita secara menyeluruh daripada akar umbi sehingga ke peringkat pembuat dasar. Menurut beliau, perjuangan Allahyarham Tun Fatimah Hashim sentiasa menjadi sumber inspirasi dan tonggak utama dalam meneruskan agenda pemerkasaan wanita yang diperjuangkan oleh PKWTFH.
Beliau turut menegaskan bahawa pertemuan bersama waris Tun Fatimah Hashim, Yayasan Kadir & Fatimah serta HAWA Malaysia ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik bagi memastikan legasi perjuangan tokoh tersebut terus dipelihara dan diperkasakan melalui pelbagai inisiatif akademik, penyelidikan dan pembangunan kepimpinan wanita yang juga memberikan impak kepada komuniti.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Bariah Mohd Ali berkata, sejak penubuhan Kerusi Kepimpinan Wanita UKM pada 30 Mac 2012, universiti telah berjaya melahirkan ramai pemimpin wanita melalui pelbagai latihan, seminar, forum serta program pembangunan kepimpinan yang memberi fokus kepada peningkatan kompetensi wanita di pelbagai sektor.
Beliau turut menzahirkan sokongan penuh UKM terhadap kerjasama yang dijalinkan antara universiti, PKWTFH dan waris Allahyarham Tun Fatimah Hashim dengan harapan kolaborasi tersebut akan terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan wanita serta melahirkan lebih ramai tokoh wanita yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Felo Utama Bersekutu PKWTFH, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Penolong Setiausaha Kehormat HAWA Malaysia, Dato’ Rose Yusof serta wakil Yayasan Kadir & Fatimah yang juga waris Allahyarham Tun Fatimah Hashim iaitu Encik Mohamed Shah Kadir bersama isteri Puan Fadillah Yakin, Puan Faridah Abdul Kadir serta cucu Allahyarham, Adian Yein Khalid dan Zurina Datuk Ali.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan FSSK dalam memelihara dan mengangkat legasi Allahyarham Tun Fatimah Hashim sebagai ikon kepimpinan wanita negara. Melalui pertemuan bersama waris keluarga, Yayasan Kadir & Fatimah serta HAWA Malaysia, PKWTFH diyakini akan terus menjadi pusat rujukan yang memperkasa penyelidikan, dokumentasi sejarah dan pembangunan kepimpinan wanita, sekali gus memastikan nilai, perjuangan dan aspirasi Tun Fatimah Hashim terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK