FSSK Melalui PKW Angkat Legasi Sasterawan Negara dalam Wacana Pemikiran dan Kepimpinan

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Sastera bukan sekadar wadah penghasilan karya kreatif, malah berperanan membentuk pemikiran, memperhalus nilai kemanusiaan dan membina kepimpinan yang berteraskan kebijaksanaan serta pertimbangan moral. Kepentingan inilah yang diketengahkan menerusi Majlis Wacana Kalam Pujangga: Sasterawan Negara dan Naratif Kepimpinan yang berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengangkat tema “Menelusuri Warisan, Pemikiran dan Kebitaraan Tokoh Sasterawan Negara”, majlis ini dianjurkan oleh Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, FSSK UKM, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA MELAYU) serta Kelab Pengajian Melayu BITARA MELAYU, FSSK UKM.

Wacana ini membuka ruang untuk menelusuri legasi intelektual, pemikiran dan sumbangan Sasterawan Negara dalam memperkaya khazanah kesusasteraan tanah air serta membentuk pemikiran dan nilai masyarakat. Perbincangan turut memberikan perhatian kepada sumbangan Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara Ke-6, Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Ke-13, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Sasterawan Negara Ke-14, dan Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah Sasterawan Negara Ke-16, yang merupakan antara tokoh yang mewarnai perkembangan kesusasteraan Malaysia. Melalui karya dan pemikiran mereka serta legasi Sasterawan Negara yang lain, wacana ini menyoroti peranan sastera dalam membina jati diri, memperkukuh nilai kemanusiaan dan memperluas pemahaman tentang kepimpinan dalam masyarakat.

Ketua Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, FSSK UKM, Dr. Noremy Md Akhir, dalam kata alu-aluan menegaskan bahawa pertemuan antara sastera dan kepimpinan mempunyai kepentingan tersendiri dalam konteks pendidikan tinggi.

“Dalam konteks universiti, pertemuan antara sastera dan kepimpinan ini amat signifikan. Universiti bukan sekadar tempat mengembangkan kepakaran dan pengetahuan, tetapi juga ruang membentuk insan yang mampu berfikir secara kritis, bertindak dengan pertimbangan yang matang dan memikul tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Pandangan tersebut memperlihatkan bahawa pembangunan insan di universiti tidak seharusnya terbatas kepada penguasaan ilmu dan kepakaran, sebaliknya turut merangkumi pembentukan nilai, kepekaan sosial serta keupayaan membuat pertimbangan yang bertanggungjawab.

Mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Tengah, Puan Musasliza Mustan Shir pula menekankan kepentingan sastera dalam pembangunan negara yang menyeluruh.

“Sastera sewajarnya diberikan tempat yang penting dalam pembangunan negara kerana kemajuan bukan hanya diukur melalui pencapaian material, tetapi juga melalui ketinggian pemikiran, kematangan nilai dan kehalusan budi masyarakatnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sastera mempunyai nilai yang melangkaui penghasilan karya, iaitu sebagai ruang untuk masyarakat meneliti pemikiran, memahami pengalaman manusia dan menghargai nilai yang membentuk peradaban.

Kedua-dua wakil turut mengenang Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah yang lebih dikenali sebagai Mana Sikana, Sasterawan Negara Ke-16, atas sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan dan kritikan sastera. Pemikiran serta karya intelektual Allahyarham wajar terus dikaji, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang sebagai sebahagian daripada khazanah ilmu kesusasteraan negara.

Pengisian utama majlis menampilkan Profesor Emeritus Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim sebagai pembicara utama yang menelusuri perjalanan intelektual, falsafah pemikiran dan sumbangan Sasterawan Negara dalam membentuk jati diri, nilai kemanusiaan serta kepimpinan masyarakat. Perbincangan ini membuka ruang untuk melihat kesusasteraan bukan sahaja sebagai warisan budaya, tetapi juga sebagai sumber pemikiran yang relevan dalam memahami manusia dan masyarakat.

Majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi oleh Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Persembahan tersebut mengetengahkan keindahan bahasa dan kekuatan puisi sebagai medium penyampaian pemikiran, pengalaman serta renungan tentang kehidupan.

Secara keseluruhannya, Majlis Wacana Kalam Pujangga mengangkat kepentingan kesusasteraan sebagai sebahagian daripada pembentukan masyarakat berilmu, berbudaya dan berprinsip. Melalui penelitian terhadap pemikiran Sasterawan Negara, warisan sastera dapat terus dihidupkan sebagai sumber renungan dan panduan dalam membina kepimpinan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi turut berpaksikan nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »