Lima puluh tahun bukan sekadar perjalanan masa tetapi himpunan pemikiran, perjuangan ilmu dan sumbangan generasi yang membentuk sebuah disiplin akademik. Sejak penubuhannya pada tahun 1976, Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melalui pelbagai perubahan landskap politik dan akademik, sekali gus membina legasi keilmuan yang terus relevan dalam memahami dinamika masyarakat dan negara.
Bersempena perjalanan lima dekad tersebut, Majlis Sambutan Jubli Emas: 50 Tahun Sains Politik UKM (1976–2026) telah berlangsung di Dewan Perdana FSSK UKM, hari ini, sebagai wadah menghimpunkan mantan pensyarah, ahli akademik, alumni, pelajar serta warga fakulti untuk mengenang perjalanan yang telah ditempuh, menghargai sumbangan terdahulu dan menelusuri aspirasi bagi masa hadapan disiplin Sains Politik.
Perjalanan Sains Politik di UKM bermula pada tahun 1976 dengan penubuhan Jabatan Sains Politik. Seiring perkembangan struktur akademik universiti dan penggabungannya bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), jabatan tersebut kemudiannya dikenali sebagai Program Sains Politik. Kini, Program Sains Politik bernaung di bawah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), FSSK UKM, meneruskan tradisi keilmuan yang telah dibina sejak lima dekad lalu.
Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Prasiswazah FSSK, Prof. Madya Dr. Ezarina Zakaria, beliau menegaskan bahawa Sains Politik bukan sekadar sebuah program pengajian, malah merupakan salah satu disiplin ilmu yang memperkukuh kedudukan dan sumbangan akademik FSSK serta UKM.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan perintis, mantan pensyarah, ahli akademik masa kini, alumni dan pelajar yang menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang program tersebut. Kecemerlangan yang dikecapi sepanjang lima dekad, menurut beliau, merupakan hasil usaha, pengorbanan dan pemikiran generasi terdahulu yang telah mendidik, membimbing serta menghasilkan penyelidikan berimpak dalam bidang Sains Politik.
Mengangkat peranan alumni sebagai cerminan kejayaan program, beliau turut menyeru agar hubungan antara alumni dengan alma mater terus dipelihara melalui perkongsian ilmu, bimbingan dan pembukaan peluang kepada generasi pelajar seterusnya. Alumni yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor kerajaan dan swasta dilihat sebagai sebahagian daripada legasi yang terus menghidupkan nama Sains Politik UKM di luar lingkungan universiti.
Beliau turut mengingatkan bahawa legasi yang baik bukan hanya diwarisi, tetapi perlu terus dibina. Sehubungan itu, para pelajar disifatkan sebagai penerus perjalanan ilmu yang perlu terus mengembangkan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan penglibatan kemasyarakatan.
“Sesungguhnya sambutan Jubli Emas pada hari ini bukan sekadar meraikan usia sebuah program, tetapi juga menjadi ruang untuk menghargai perjalanan yang dilalui dan memperbaharui tekad terhadap masa depan yang ingin kita bina,” ujar beliau.
Beliau turut menzahirkan harapan agar obor ilmu Sains Politik di UKM terus menyala sebagai sumber pemikiran yang bernas, keberanian untuk menyoal secara berhemah serta keupayaan menyumbang kepada masa hadapan masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Program Majlis Sambutan Jubli Emas, Prof. Dr. Sity Daud, dalam ucapannya mengetengahkan perkembangan semasa Program Sains Politik yang terus memperluas penawaran bidang pengkhususan bagi memenuhi keperluan ilmu dan perubahan landskap politik antarabangsa. Antara pengkhususan baharu yang diperkenalkan ialah Politik Asia Timur, Ekonomi Politik Pembangunan, Etnisiti dan Nasionalisme serta Demokrasi dan Kediktatoran.
Perkembangan tersebut mencerminkan usaha program untuk memperkayakan ruang pengajian dan penelitian dalam memahami isu politik kontemporari. Beliau turut berharap agar hubungan antara alumni dengan program terus diperkukuh dan tidak terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya berkembang sebagai jaringan kerjasama yang saling menyokong antara generasi.
Antara pengisian utama sambutan ialah sesi bicarawara bertajuk “50 Tahun Sains Politik UKM: Legasi, Cabaran dan Aspirasi” yang dipengerusikan oleh Ketua Program Sains Politik FSSK, Dr. Sharifah Nursyahidah Syed Annuar. Sesi tersebut menampilkan tiga panelis daripada latar belakang akademik, penyelidikan politik dan perkhidmatan masyarakat, iaitu mantan Profesor Madya Program Sains Politik UKM, Encik Ghazali Mayudin, Penganalisis Kanan Merdeka Centre, Encik Rizal Hamdan serta alumni Program Sains Politik UKM yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sabak Bernam, Puan Siti Nurizzati Munirah Malik.
Perbincangan menelusuri makna dan pengalaman peribadi para panelis sepanjang perjalanan mereka bersama disiplin Sains Politik, termasuk nilai serta prinsip keilmuan yang terus menjadi pegangan dalam kerjaya masing-masing. Perkongsian tersebut turut memperlihatkan bagaimana ilmu yang diperoleh bukan sekadar membentuk kefahaman terhadap sistem dan proses politik, malah menjadi asas dalam menilai perkembangan masyarakat serta membuat pertimbangan dalam bidang profesional.
Dalam mendepani landskap politik semasa, para panelis turut membincangkan cabaran yang timbul daripada pengaruh media sosial terhadap wacana politik. Perubahan persekitaran komunikasi ini menuntut graduan Sains Politik untuk memiliki keupayaan berfikir secara kritis, menilai maklumat dan memahami perkembangan politik dengan lebih menyeluruh.
Selain penguasaan ilmu asas disiplin, graduan masa kini turut perlu melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa, khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pemprosesan analisis data seperti Power BI dan Python. Kemahiran tersebut dilihat sebagai nilai tambah yang dapat memperkukuh keupayaan graduan untuk menganalisis maklumat dan menghasilkan penelitian yang lebih berasaskan data.
Sesi bicarawara turut membuka ruang perbincangan mengenai stereotaip masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam politik serta isu bias gender yang masih menjadi sebahagian daripada cabaran dalam arena tersebut. Perbincangan ini memperlihatkan bahawa pemahaman politik yang menyeluruh turut menuntut penelitian terhadap aspek kesaksamaan, representasi dan pengalaman kelompok yang berbeza dalam masyarakat.
Mengakhiri perbincangan, para panelis turut menyentuh kepentingan memperkukuh hubungan antara program dengan alumni melalui penganjuran program perkongsian kepakaran. Penglibatan alumni sebagai pembimbing dan rakan perkongsian ilmu berpotensi memberikan pendedahan lebih luas kepada pelajar tentang realiti kerjaya, pengalaman profesional serta aplikasi ilmu Sains Politik di luar universiti.
Majlis turut diserikan dengan sesi pra-pelancaran buku bertajuk Pilihan Raya Umum Ke-15: Potensi dan Cabaran, sebagai sebahagian daripada pengisian ilmiah yang melengkapi sambutan lima dekad tersebut.
Lima dekad yang telah berlalu menjadi asas untuk melangkah ke hadapan dengan tekad yang lebih besar. Dengan mengekalkan tradisi pemikiran kritis, memperluas jaringan ilmu dan menyesuaikan pengajian dengan cabaran semasa, Sains Politik UKM diharap terus menjadi wadah melahirkan graduan yang berpengetahuan, berfikiran matang dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2026 | DCU,FSSK