Bahasa bukan sekadar medium komunikasi, malah menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan identiti, budaya dan cara hidup yang berbeza. Berpegang kepada semangat tersebut, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan LinguaFest @ FSSK UKM 2026 bagi memperluas pengalaman pembelajaran mahasiswa menerusi penerokaan bahasa dan budaya masyarakat dunia.
Berlangsung di Dewan Perdana dan Laluan di Chow Kit, FSSK UKM, program bertemakan “Explore Languages, Embrace Cultures, Celebrate Diversity” itu merupakan inisiatif bermakna dalam memperkayakan pengalaman pembelajaran mahasiswa, khususnya melalui pemahaman yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian bahasa, budaya dan cara hidup masyarakat dari seluruh dunia.
Memasuki penganjuran kali kedua sejak diperkenalkan pada tahun 2025, LinguaFest diteruskan lagi menjadi platform pembelajaran di luar bilik kuliah yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendekati kepelbagaian budaya secara lebih interaktif melalui persembahan, pameran dan perkongsian pengalaman.
Program ini turut mendapat sokongan kerjasama daripada sembilan institusi dan organisasi kebudayaan, iaitu King Sejong Institute, Bangi, Yunus Emre Institute, Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Alliance Française de Kuala Lumpur, Instituto Cervantes, Kong Zi Institute, Universiti Malaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Han Culture Centre Malaysia serta Persatuan Bahasa dan Budaya Arab Malaysia.
Dalam ucapan perasmiannya, Dekan FSSK UKM, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub menegaskan bahawa graduan universiti bukan sahaja perlu memiliki kepakaran dalam bidang pengajian masing-masing, malah perlu mempunyai pemikiran terbuka, kemahiran komunikasi antara budaya dan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran global yang semakin dinamik.
Menurut beliau, LinguaFest merupakan platform yang relevan dalam menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang seimbang, berdaya saing dan berpandangan global.
Beliau turut berharap agar mahasiswa tidak melihat festival tersebut sekadar sebagai sebuah acara untuk dikunjungi, sebaliknya memanfaatkan peluang yang tersedia untuk meneroka perkara baharu, mengemukakan pertanyaan, mencuba pengalaman berbeza serta berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang budaya.
Mahasiswa juga digalakkan untuk berani mempelajari perkataan daripada bahasa lain, bertukar pandangan dan membina persahabatan merentas budaya, sekali gus menjadikan pengalaman di LinguaFest sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembentukan diri.
Antara tarikan utama LinguaFest 2026 ialah persembahan kebudayaan oleh mahasiswa yang mengetengahkan sembilan latar bahasa dan budaya, iaitu Turki, Cina, Jepun, Sepanyol, Jerman, Korea, Perancis, Thai dan Arab. Kepelbagaian persembahan tersebut memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menampilkan keunikan tradisi serta ekspresi budaya masyarakat yang berbeza.
Selain persembahan, pengunjung turut berpeluang mengunjungi pelbagai reruai pameran yang disediakan sepanjang program. Reruai tersebut menjadi ruang interaksi untuk mengenali bahasa, tradisi dan identiti budaya yang diperkenalkan oleh institusi serta organisasi yang mengambil bahagian.
Majlis turut dihadiri Tuan Yang Terutama Mr. Sergi Farré Salva, Duta Sepanyol ke Malaysia, wakil Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur, wakil Kedutaan Jepun di Malaysia, wakil daripada Yunus Emre Institute dan King Sejong Institute serta wakil daripada Alliance Française de Kuala Lumpur.
Penganjuran LinguaFest 2026 menggambarkan kepentingan penerokaan bahasa dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya sebagai kekuatan yang mampu menyatukan masyarakat. Dalam dunia yang semakin saling berhubung, keupayaan memahami perbezaan dan berkomunikasi merentas budaya merupakan nilai penting dalam membentuk generasi yang lebih terbuka, inklusif dan bersedia menghadapi persekitaran antarabangsa.
Melalui platform seumpama ini, FSSK UKM terus memperluas ruang pembelajaran mahasiswa dengan menghubungkan ilmu bahasa dan linguistik kepada pengalaman kehidupan sebenar, sekali gus menyemai kesedaran bahawa setiap bahasa membawa cerita, setiap budaya mempunyai keunikan dan setiap perbezaan merupakan peluang untuk saling memahami.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2026 | DCU,FSSK