119 Usahawan Siswa Sertai Program INSPIRE, Bangunkan Perniagaan Inovatif

Oleh Iszan Hana Kaharudin dan Muhammad Izzuddin Mohd Yazri
Foto UKM-CESMED

BANGI, 30 Januari 2026 – Seramai 119 usahawan siswa dan  30 mentor daripada 28 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia berkumpul di Dewan Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengikuti Bootcamp Keusahawanan Program Innovative Studentpreneurs for Impactful and Resilient Enterprises (INSPIRE), baru-baru ini.

Program tiga hari itu diadakan bagi memperkukuh keupayaan usahawan siswa dalam membangunkan perniagaan yang inovatif, berdaya tahan dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT (PTK-IPT) 2021–2025 serta agenda pembangunan mampan negara.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED), Prof. Madya Dr. Muhammad Azry Khoiry berkata program INSPIRE berperanan sebagai platform strategik untuk melahirkan usahawan muda yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan, tetapi turut peka terhadap impak nasional.

“Usahawan muda hari ini bukan sekadar pencipta produk, tetapi pencipta penyelesaian.

“Melalui INSPIRE, kita membimbing mereka membangunkan perniagaan yang selari dengan keperluan pasaran, menyokong agenda PTK-IPT dan menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan negara,” katanya.

Bootcamp itu merangkumi enam modul utama berteras inovasi keusahawanan, iaitu diagnostik perniagaan, pengurusan masalah dan data, pembangunan produk dan sistem servis, operasi dan struktur organisasi, strategi pemasaran dan penjanaan pendapatan, serta integrasi inovasi dengan impak perniagaan.

Modul-modul tersebut dirangka bagi membantu peserta membina model perniagaan yang bukan sahaja berdaya saing, malah menyumbang kepada penciptaan nilai sosial, ekonomi dan kelestarian.

Sebanyak empat kategori perniagaan diketengahkan dalam program ini, meliputi kecantikan dan kesihatan (12 kumpulan), pendidikan (lapan kumpulan), fesyen dan aksesori (tujuh kumpulan), serta kraftangan (tiga kumpulan).

Fokus kategori adalah menyokong secara langsung beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), antaranya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Seorang peserta dari jurusan Sains Komputer Universiti Multimedia (MMU), Ramesh, berkata pendekatan modul yang disusun secara sistematik berjaya merapatkan jurang kefahaman antara peserta daripada pelbagai latar belakang akademik ke arah pembangunan perniagaan yang relevan dengan cabaran ekonomi semasa.

Sepanjang Bootcamp, setiap pasukan diberikan peluang untuk membentangkan perniagaan masing-masing, menerima maklum balas mentor serta bertukar pandangan bagi memperkukuh model perniagaan, strategi pertumbuhan dan kesiapsiagaan pasaran.

Fasa pementoran Program INSPIRE akan diteruskan sehingga penghujung Jun 2026, dengan setiap pasukan menerima geran pemula berjumlah RM2,500 bagi menyokong pembangunan perniagaan mikro dan kecil.

Leave a Reply