Oleh Murniati Abu Karim
Foto KOMUNIKASI UKM
BANGI, 22 November 2025 – Seramai 13,904 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diraikan sempena Majlis Konvokesyen universiti yang ke-53.
Majlis konvokesyen yang diadakan dalam 20 sidang ini meraikan seramai 571 graduan Doktor Falsafah, 231 graduan Sarjana Kepakaran, 2,796 graduan Sarjana, 4,511 graduan Sarjana Muda, 108 graduan Diploma Pascasiswazah, 5,677 graduan Diploma Lepasan Ijazah dan 10 graduan Sijil Pascasiswazah.
Pengisytiharan pembukaan konvokesyen disempurnakan oleh Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Baginda berpesan kepada semua graduan supaya menjadikan kejayaan mereka sebagai sejarah peribadi dalam kehidupan yang masih panjang.
“Kejayaan ini adalah berkat doa dan usaha guru dan ibu bapa. Sentiasa memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan keluarga dan masyarakat.
“Beta menaruh keyakinan kamu akan terus menjaga maruah dan nama baik universiti. Jika boleh, kembalilah kepada UKM untuk menyumbang ilmu dan kepakaran. Jadilah seorang alumni UKM yang boleh diteladani serta sentiasa dihormati,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda juga menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua graduan iaitu Meor Muhammad Naiman Meor Mohd. Jamil dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, dan Morvareed Mousavi dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.
Sembilan mantan tenaga akademik UKM dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus sebagai pengiktirafan atas jasa mereka dalam mencipta kecemerlangan kepada UKM dan negara melalui bidang kepakaran masing-masing sepanjang perkhidmatan di universiti.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh turut menyampaikan ucapan tahniah kepada seluruh graduan.
“Buat semua graduan UKM, jadilah seorang insan yang memikul amanah rakyat dan negara dengan telus dan berintegriti.
“Peliharalah kejujuran dalam setiap langkah dan laksanakan setiap tugas dengan penuh tanggungjawab.
“Jangan sesekali lupa anda adalah cerminan UKM, universiti kebangsaan yang lahir daripada harapan dan doa masyarakat,” katanya.


