Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 11 Ogos 2025 – 17 kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bakal mengikuti program Sijil Profesional Khidmat Sosial (SPKS) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bermula bulan ini.
Program SPKS merupakan program yang dirangka melalui kolaborasi antara LZS dengan FSSK yang memfokuskan kepada kompetensi Pengurusan Kerja Sosial yang merupakan sebahagian daripada set kompetensi kemahiran warga kerja LZS dalam berhadapan dengan masyarakat, komuniti dan asnaf.
Pengarah Yayasan Canselor UKM, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed berkata UKM berasa amat berbangga kerana diberi ruang untuk menyumbang dalam memperkukuh kompetensi tenaga kerja LZS melalui kerjasama strategik itu.
“Sebagai universiti yang sentiasa mendukung peranan ilmu untuk kesejahteraan masyarakat, UKM amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh LZS.
“Kami percaya bahawa apabila sektor akademik dan organisasi seperti LZS berganding bahu, impaknya akan jauh lebih besar, lebih lestari, dan lebih dekat dengan keperluan sebenar ummah.
“Antara bentuk kerjasama aktif yang sedang dilaksanakan ketika ini ialah program SPKS, yang berteraskan disiplin bidang Kerja Sosial.
“Inisiatif ini merupakan satu pendekatan strategik dan berwawasan yang diyakini mampu melahirkan barisan kakitangan LZS sebagai ‘Amil Dinamik’ iaitu individu yang berkompeten, berintegriti, dan sentiasa bersedia mendepani cabaran sosial semasa dengan penuh keprihatinan dan profesionalisme,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan LZS, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata kerjasama yang terjalin sejak tahun lepas itu diteruskan lagi pada tahun ini, disesuaikan dengan keperluan praktis industri zakat, khususnya di LZS.
“Pada tahun lalu, seramai 24 orang warga kerja LZS telah berjaya menamatkan pengajian dalam Program SPKS Kohort 1 bermula bulan Oktober 2024 sehingga bulan April 2025.
“Pada tahun 2025 ini, insya-Allah LZS akan menghantar 17 orang penyertaan Kohort 2 bagi menyertai pengajian yang akan bermula bulan Ogos ini,” katanya.
Dalam ucapan itu, beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada FSSK yang sentiasa komited memastikan perjalanan pengajian berjalan dengan baik dan lancar sehingga sampai ke tahap ini.
“Terima kasih dan syabas juga untuk pensyarah yang terlibat secara langsung, dan seterusnya kepada divisyen-divisyen dari LZS yang terlibat khususnya Divisyen Sumber Manusia dan Operasi,” katanya.

