Oleh Nurin Batrisyia Bukhari
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 21 Ogos 2025 – Seramai 35 anggota Polis Bantuan berpangkat Asistan Superintendan, Inspektor, Sarjan Mejar, Sarjan, Lans Koperal dan Konstabel menerima pemakaian pangkat setelah menamatkan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 2025 selama 63 hari yang diadakan di Pusat Latihan Polis Langkawi dan Pusat Latihan Pasukan gerakan Am, Ulu Kinta.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh merakamkan ucapan penghargaan kepada Bahagian Keselamatan UKM atas usaha berterusan memperkukuh keselamatan kampus melalui pembangunan unit Polis Bantuan sejak mendapat kelulusan penubuhan pada 2022.
“Sejak itu, sebanyak lima kumpulan anggota telah dihantar ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara, melibatkan seramai 64 anggota setakat ini.
“Malah, Kursus Asas Polis Bantuan ini telah diiktiraf sebagai kursus profesional oleh unit latihan Bahagian Sumber Manusia UKM satu pencapaian yang membuktikan kesungguhan UKM dalam memperkasa profesionalisme pasukan keselamatan kampus,” katanya.
Di samping itu, Prof. Dr. Sufian turut menerangkan inisiatif yang dilakukan oleh UKM bagi meningkatkan kecekapan dan juga menjaga kebajikan setiap anggota polis bantuan.
“Pelaksanaan kursus dan latihan lanjutan seperti kawad, latihan penggunaan t-beaton dan gari, kelas undang-undang, latihan menembak, kursus mempertahankan diri, bengkel pengukuhan pasukan dan latihan pengurusan haiwan liar.
“Saya yakin bahawa segala usaha ini bukan sahaja akan memperkasa Bahagian Keselamatan UKM, malah akan melonjakkan imej UKM sebagai sebuah universiti yang selamat, profesional dan progresif,” jelasnya.
Beberapa anggota Polis Bantuan yang mengharumkan nama universiti melalui pencapaian cemerlang sepanjang tempoh latihan turut diberi penghargaan.
Mereka ialah ASP/PB Muhammad Syakir Iskandar Muzakir yang mengetuai Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Pulapol Langkawi, SM/PB Mohamad Suffize Majid@Majit yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Luar Terbaik, serta SI/PB Solehudin Anuar yang menerima Anugerah Pelatih Jasmani Terbaik.
Prof. Dr. Sufian mengakhiri ucapan beliau dengan berharap agar semua anggota Polis Bantuan terus komited dalam menjaga keselamatan warga dan kampus UKM.
“Gunakanlah pangkat ini sebagai tanggungjawab dan amanah yang mesti digalas dengan penuh integriti dan iltizam,” ujarnya.

