Pensyarah Perubatan UKM menerima Anugerah Pengiktirafan Presiden bagi Penyelidik Muda

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Dr Fitri Fareez Ramli telah menerima Anugerah Pengiktirafan Presiden bagi Penyelidik Muda (President’s Recognition for Young Investigators) daripada International College of Neuropharmacology (Collegium Internationale Neuro-Psychopharmacologicum atau CINP). Beliau menerima anugerah tersebut ketika Kongres Dunia Neuropsikofarmakologi ke-36 dan Mesyuarat Asian College of Neuropsychopharmacology ke-9 yang berlangsung di Melbourne Convention & Exhibition Centre pada 15–18 Jun 2025.

Dalam kongres tersebut, beliau telah membentangkan hasil penyelidikan beliau tentang kesan ubat ebselen pada paras bahan kimia otak tertentu, pemprosesan emosi dan gelaja kemurungan dalam kalangan pesakit-pesakit kemurungan yang tidak memberikan respon yang mencukupi terhadap ubat-ubat kemurungan yang standard. Kertas kerja tersebut dibentangkan pada sesi ‘Mood yang berkaitan dengan klinikal’. Kajian tersebut merupakan salah satu kajian yang dijalankan bersama-sama dengan penyelia-penyelia beliau, Profesor Dr Philip Cowen dan Dr Beata Godlewska, di University of Oxford, sewaktu menuntut ilmu di sana pada peringkat PhD. 

Ubat yang digunakan dalam kajian beliau di Oxford adalah ebselen. Ebselen merupakan satu ubat yang belum pernah dipasarkan sebelum ini untuk sebarang jenis penyakit. Namun begitu, terdapat banyak kajian ubat ebselen yang telah dijalankan untuk bagi mengenalpasti potensinya dalam rawatan penyakit psikiatri, telinga dan COVID-19. Dalam bidang psikiatri, ebselen dikaji bagi mencari alternatif kepada ubat lithium. Lithium merupakan ubat yang boleh digunakan untuk penyakit bipolar dan kemurungan yang tidak dapat dirawat dengan ubat-ubat yang standard. Walau bagaimanapun, penggunaan lithium mungkin tidak menjadi pilihan utama kerana kesulitan dalam pemantauan darah dan kesan-kesan sampingan yang lain. 

Justeru itu, usaha-usaha telah dilakukan bagi mencari ubat yang mempunyai cara kerja yang sama dengan lithium, tetapi profil kesan sampingan yang lebih baik. Ebselen mempunyai cara kerja yang sama dengan lithium berdasarkan hasil kajian pada haiwan dan sukarelawan yang sihat. Ia juga mempunyai profil kesan sampingan yang lebih baik berbanding lithium. Walau bagaimanapun, kajian lanjut harus dijalankan bagi mengesahkan cara kerja dan potensi ubat ebselen dalam kumpulan sasaran sebelum kajian klinikal dilakukan.

Kajian PhD Dr Fitri Fareez merupakan satu uji kaji eksperimental yang menggunakan instrumen-instrumen khas untuk mengkaji potensi dan cara kerja ubat bagi merawat kemurungan. Walaupun populasi kajian melibat manusia, jenis kajian ini adalah berbeza dengan ujian klinikal. Hasil utama yang diukur dalam jenis kajian ini adalah pemprosesan emosi yang pada waktu ini belum lagi digunakan dalam prosedur rawatan standard di klinik atau hospital. Selain itu, julat normal dan tidak normal bagi pelbagai aspek pemprosesan emosi (pengecaman emosi wajah, pengekodan dan memori emosi) juga belum dapat ditentukan. Kajian-kajian sebelumnya menunjukkan bahawa perubahan emosi pada minggu pertama yang diukur dengan menggunakan alat ini dapat meramal perubahan klinikal yang berlaku setelah beberapa minggu rawatan. Ini menjadikan alat ini berguna untuk dijadikan penanda awal bagi mengesan ubat-ubat yang mempunyai potensi dalam merawat kemurungan.

Teknik spektroskopi resonans magnet pula dapat mengukur paras bahan kimia otak pada bahagian-bahagian yang diingini. Dalam kajian ini, teknik ini digunakan untuk melihat perubahan hadapan otak (korteks singulat hadapan) yang berkait rapat dengan pemprosesan emosi. Soal selidik klinikal juga digunakan untuk melihat perubahan gejala-gejala kemurungan dalam tempoh seminggu ubat diberikan. Pada kebiasaannya, ubat-ubat kemurungan biasanya mengambil masa selama beberapa minggu untuk menunjukkan perubahan yang ketara. Walau bagaimanapun, terdapat juga ubat yang dapat menghasilkan perubahan setelah beberapa hari ubat diberikan. Oleh itu, soal selidik-soal selidik yang lazim digunakan dalam kajian klinikal turut digunakan.

Hasil kajian menunjukkan penurunan bahan kimia glx (gabungan antara bahan kimia glutamat dan glutamin), sama seperti kajian-kajian sebelumnya yang dijalankan pada sukerelawan yang sihat. Glutamat merupakan pengutus saraf yang penting dalam hubungan antara saraf. Gangguan pada saraf glutamat merupakan salah satu penyebab terjadinya kemurungan. Ubat-ubat yang mempunyai cara kerja yang mensasarkan saraf glutamat seperti esketamin mempunyai kesan yang sangat cepat dalam menurunkan gejala kemurungan, seawal beberapa jam setelah dos diberikan.

Penemuan lain adalah penurunan paras inositol pada bahagian otak yang sama. Kesan ebselen pada paras inositol merupakan sesuatu yang diharapkan kerana lithium juga mempunyai kesan yang sama. Perubahan ini berkemungkin disebabkan oleh hambatan pada enzim inositol monofosfatase yang penting dalam kitaran inositol. Kitaran inositol digunakan oleh sebahagian jenis reseptor, termasuk reseptor serotonin yang penting peraturan mood.

Walau bagaimanapun, ebselen tidak memberikan kesan yang ketara untuk pemprosesan emosi yang digunakan sebagai penanda bio awal bagi potensi ubat anti-kemurungan. Penemuan ini tidak menyokong potensi ebselen sebagai ubat tambahan untuk pesakit kemurungan yang mempunyai respons yang tidak mencukupi bagi ubat-ubat standard yang sedang mereka ambil. Selain itu, keputusan bagi perubahan gelaja-gejala kemurungan jugak tidak menemukan perbezaan yang ketara antara kumpulan ebselen dan placebo. Ini menunjukkan bahawa ebselen tidak mempunyai kesan anti-kemurungan yang cepat seperti ketamin atau esketamin. Hal ini mungkin kerana sasaran yang berbeza pada saraf glutamat.

Sungguhpun hasil kajian ini tidak menyokong penggunaan ebselen dalam populasi pesakit kemurungan yang tidak responsif terhadap ubat anti-kemurungan yang standard, kajian ini membuktikan cara kerja ebselen yang dapat direplikasi daripada kajian-kajian sebelumnya. Cara kerja tersebut mungkin berpotensi untuk rawatan penyakit bipolar. Kajian yang dijalankan oleh Profesor Philip Cowen dan rakan-rakan melaporkan bahawa ebselen dapat mengurangkan tahap keterukan penyakit dalam kalangan pesakit bipolar yang sedang berada dalam fasa mania atau hipomania.

Dr Fitri Fareez telah menamatkan pengajian PhD di University of Oxford pada Oktober 2024 dan kini berkhidmat sebagai Pensyarah Perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian-kajian beliau yang dirangka pada masa kini di Universiti Kebangsaan Malaysia adalah berkisar penggunaan kaedah-kaedah pengimejan neuro, pemprosesan emosi dan penanda-penanda bio yang lain dalam penyakit neuropsikiatri.

Leave a Reply