33 Pelajar KTSN Santuni Pusat Kebajikan Asnaf

Oleh Lau Xin Yu
Foto Siti Nur Najiha Binti Sheikh Zubir Ali

KUALA LUMPUR, 8 Julai 2025 – Dalam usaha menabur bakti kepada komuniti, seramai 33 orang ahli organisasi Kelab Usahawan Muda dari Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjayakan program khidmat masyarakat “Santunan Kasih: UKM Kongsi Rezeki” yang berlangsung di Pusat Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh, Selangor, baru-baru ini.

Program ini diadakan bagi menyemai nilai empati dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa terhadap komuniti kurang bernasib baik, seiring dengan aspirasi UKM dalam membentuk graduan holistik berteraskan Ilmu, Mutu dan Budi.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah gotong-royong di kawasan surau, perpustakaan, bilik asrama perempuan, dapur, kantin dan halaman belakang asrama. Para pelajar juga mengambil inisiatif untuk mencantikkan kawasan asrama dan menyediakan sudut bacaan sebagai nilai tambah kepada kemudahan sedia ada.

Program turut dimeriahkan dengan aktiviti permainan dan sesi interaksi bersama anak-anak yatim, yang berjaya mewujudkan suasana mesra, ceria dan penuh kegembiraan sepanjang pagi tersebut.

Pengetua KTSN, Prof Madya Dr Mohd Razif Shahril dalam ucapannya semasa sesi penutup menyatakan bahawa penglibatan aktif mahasiswa dalam program sebegini mampu membentuk sahsiah diri serta memperkukuh semangat kesukarelawanan.

“Program seperti ini berupaya melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga mempunyai jiwa kepimpinan dan prihatin terhadap masyarakat. Ini adalah antara usaha kami ke arah memperkasa generasi pelapis negara,” ujarnya.

Pengurus Pusat Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al, Yusof Noordin menzahirkan penghargaan atas kesungguhan dan keprihatinan para pelajar dalam menjayakan program itu.

“Keikhlasan mahasiswa UKM jelas terpancar melalui semangat gotong-royong dan kesediaan mereka berinteraksi mesra bersama anak-anak di sini. Ia benar-benar menceriakan suasana dan memberi makna besar buat kami,” katanya.

Majlis penutup program diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pihak pengurusan pusat jagaan serta penyerahan simbolikreplika cek berjumlah RM1,000 sebagai sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh.

Program “Santunan Kasih: UKM Kongsi Rezeki” bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah berjaya memperkukuhkan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar UKM, selaras dengan misi universiti sebagai universiti watan.

Leave a Reply