UKM bangun modul AI untuk pelajar TVET

Oleh Salleh Sulieman
Foto Institut Informatik Visual

BANGI, 15 Julai 2025- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan modul pembelajaran kecerdasan buatan (AI) untuk pelajar TVET melalui Program AI Summer Camp (AISC) yang akan dilancarkan pada tahun ini.

Pengarah Institut Informatik Visual (IVI) UKM, Prof. Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir berkata, pogram AISC kali ini akan memberi tumpuan pada pelajar politeknik di seluruh Malaysia setelah pelaksanaan di peringkat universiti di Malaysia berjaya dilaksanakan pada tahun lepas.

“Modul ini dibangunkan dengan tujuan meningkatkan kebolehpasaran pelajar politeknik di seluruh negara.

“Modul yang dibangunkan oleh penyelidik IVI untuk peserta AISC ini amat istimewa kerana merangkumi pelbagai aspek teknologi terkini yang relevan dengan keperluan industri.

“Para peserta akan didedahkan kepada bidang menarik seperti pembangunan chatbot, realiti maya, asas robotik, Internet Benda (IoT), penglihatan mesin, serta kecerdasan buatan dan analitik data.

“Kandungan komprehensif ini memastikan pelajar TVET mendapat pendedahan holistik kepada teknologi AI, sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk berinovasi dan menyumbang secara langsung dalam pelbagai sektor,” katanya.

Tambahnya, IVI memainkan peranan penting sebagai agensi advokasi teknologi AI dengan menyediakan modul latihan, tenaga pakar, dan bahan bantu pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap pelajar sekolah rendah hingga menengah.

“Kami mahu pastikan generasi muda di seluruh Malaysia, termasuk kawasan luar bandar seperti Perlis, mempunyai akses kepada teknologi termaju dan memahami asas AI secara menyeluruh.”

Program AISC adalah lanjutan kerjasama antara UKM dengan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCOEE) yang dilaksanakan bermula tahun lepas.

KAEDAH LEBIH INKLUSIF

Antara keistimewaan lain program ini adalah penerapan kaedah yang lebih inklusif dalam kalangan pelajar teknologi maklumat (IT) dan bukan IT dalam memberi pendedahan AI kepada pelajar.

Menurut Prof Madya Dr Rabiah, pendekatan inklusif ini memastikan semua peserta tanpa mengira latar belakang akademik boleh mendapat manfaat dengan ketara daripada pengetahuan dan kemahiran yang ditawarkan semasa program tersebut.

“Bagi pelajar yang mempunyai latar belakang IT, program ini berfungsi sebagai platform penting untuk meningkatkan kepakaran teknikal mereka dalam kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan analisis data.

“Mereka akan memperoleh pengalaman langsung dengan alat dan teknologi termaju yang semakin dituntut dalam industri teknologi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan prospek kerjaya mereka.”

Menurutnya lagi, pelajar bukan IT juga akan mendapat nilai yang besar dalam menyertai AISC.

“Sebagai contoh, mereka boleh mendapatkan pandangan tentang cara AI disepadukan ke dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemasaran.

“Memahami potensi AI membolehkan pelajar bukan IT untuk berinovasi dalam domain masing-masing dan menyumbang kepada pembuatan keputusan berasaskan data,” katanya.

Bagi peserta Syed Muhammad Darwish Syed Nazarudin, 20, beliau menyertai program ini dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran (upskill) dalam bidang AI.

“Dengan kemahiran yang ada, saya boleh gunakan untuk menyiapkan tugasan atau projek akhir tahun nanti.”

Peserta dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Nur Syazwani Nooryjan, 20, berkata program ini membantu dari menambahkan kefahaman dalam bidang AI dengan lebih mendalam.

“Sebagai pelajar dari bidang teknologi maklumat, bidang AI memberikan kelebihan pada saya seperti subjek chatbot yang dipelajari dalam kelas.”

IMPAK KEPADA MASYARAKAT

Program AISC yang dijalankan pada tahun ini melibatkan beberapa zon iaitu utara, tengah dan timur.

Antara negeri yang terlibat adalah Selangor, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang dan Perlis.

Menurut Dr. Rabiah, program ini berperanan sebagai jambatan antara dunia pendidikan, industri, dan masyarakat dengan mendorong kolaborasi, pertukaran ilmu, serta pembangunan penyelesaian AI yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Justeru, program ini sekaligus merapatkan jurang digital, dan memberi peluang kepada peserta dari pelbagai latar belakang. “Selain itu, program ini dapat memupuk minat dan bakat teknologi dalam kalangan belia dengan memberikan pendedahan awal kepada pelajar dan belia untuk mengenal bidang AI secara praktikal, sekali gus mengasah potensi dan minat mereka dalam inovasi serta kerjaya berasaskan teknologi,” jelas beliau.

Leave a Reply