Oleh Tan Yuan Rong
Foto Oleh Ainur Afifah Afiqah Jumain & Rafiqi Haziq Razali
HANGZHOU, CHINA, 7 Ogos 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Zhejiang Normal University (ZJNU), Hangzhou, China menjalankan aktiviti penyelidikan bersama bagi kajian berkenaan jejak karbon dan penjagaan alam sekitar.
Kerjasama ini dilakukan semasa lawatan sekumpulan 11 orang pelajara bersama dua felo Kolej Aminuddin Baki (KAB) UKM, yang mengadakan program Mobiliti Antarabangsa ke ZJNU, baru-baru ini.
Kajian penyelidikan bersama dengan tajuk “A Comparative Study on the Perceptions of University Students Regarding Carbon Footprint and Environmental Care: A Case Study of Zhejiang Normal University and The National University of Malaysia (UKM)” turut melibatkan enam orang pelajar ZJNUbagi mengkaji kesedaran serta amalan terbaik dalam memelihara dan memulihara alam sekitar, serta jejak karbon dalam kalangan mahasiswa.
Bagi merealisasikan kajian ini, sesi penyerahan Surat Hasrat (LoI) telah diadakan di antara KAB UKM dengan College of Life Sciences, ZJNU. Surat Hasrat ini antara lain membuka ruang kerjasama antara kedua-dua institusi dalam melaksanakan projek komuniti antarabangsa, serta program mobiliti pelajar yang merangkumi pertukaran budaya dan lawatan akademik.
Pertukaran LoI ini disempurnakan oleh Pengetua KAB yang mewakili UKM, Dr. Lai Wei Sieng dan Timbalan Dekan College of Life Sciences, bagi pihak ZNJU, Prof. Dr. Zhu Ping Yang.
Menurut Dr. Lai Wei Sieng, program itu bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu dan budaya, malah mendidik mahasiswa menjadi pemimpin yang prihatin terhadap isu global seperti perubahan iklim dan kesihatan sejagat.
“Program ini telah berjaya mengukuhkan hubungan dua hala di antara UKM dan ZJNU melalui kerjasama akademik, perkongsian budaya serta kesedaran bersama terhadap tanggungjawab global dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs),” katanya.
Sementara itu, wakil pelajar UKM, Maimunah Mazwan berkata dia berasa gembira kerana buat pertama kalinya dia menyertai program mobiliti antarabangsa.
“Melalui program ini, saya dapat berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari China dan berharap program ini dapat merapatkan hubungan antara kedua-dua universiti,” katanya.
Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) turut diadakan bagi membincangkan peranan kesukarelawanan sebagai pemangkin kepada pembangunan mampan. Diskusi ini turut mengemukakan cadangan inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh golongan muda dalam menyokong agenda kelestarian.
Program mobiti itu mencerminkan usaha berterusan UKM dan ZJNU dalam memperkukuh jaringan antarabangsa melalui pendidikan, penyelidikan dan penglibatan mahasiswa, seiring dengan usaha global mencapai SDGs.


