Oleh Nurin Batrisyia Bukhari
Foto Ikhwan Hashim
Bangi, 12 Ogos 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025, sebagai simbol komitmen universiti dalam memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan warganya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini mengangkat tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni yang mencerminkan visi kerajaan untuk memperkukuh pembangunan negara berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak yang merasmikan majlis pelancaran ini menekankan kepentingan mengingati tarikh kemerdekaan.
“Tanggal 31 Ogos merupakan suatu detik penting yang menjadi simbolik kebebasan negara daripada cengkaman penjajah.
“Namun, kemerdekaan bukanlah sekadar imbasan semula kisah sejarah yang berlaku di masa silam.
“Kemerdekaan yang telah dikecapi selama 68 tahun ini seharusnya dihayati dengan lebih mendalam daripada segi literal dan juga konseptual,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa kemerdekaan sesuatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa seperti yang diungkapkan oleh tokoh ulama terkenal, Buya Hamka.
“Justeru, warga UKM hendaklah sentiasa mempunyai jati diri kebangsaan, bersemangat dan beriltizam untuk membangunkan universiti, masyarakat dan negara serta menjadikan jiwa kemerdekaan satu pedoman agar dapat melahirkan masyarakat yang bertamadun,” ujarnya.
Tambah beliau, sambutan bulan kebangsaan ini merupakan satu peluang dan ruang untuk warga UKM menghayati erti kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air.
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad mengakhiri ucapan beliau dengan menyeru warga UKM untuk terus memelihara perpaduan di kampus.
“Persaudaraan dan perpaduan ini juga perlu disemai sentiasa, demi memastikan semangat ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” jelasnya.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan gimik oleh pelajar Tadika Tunas Permata UKM, pelancaran Ekspedisi Kayak Perpaduan 2025 anjuran Pusat Sukan Universiti dan nyanyian koir oleh Kumpulan Koir Pusat@Permata Pintar Negara dengan lagu bertajuk “Tekad Hari Muka”.

