Projek MULA Memacu Transformasi Usahawan Asnaf Secara Mampan

Oleh MULA Minds
Foto MULA Minds

BANGI, 6 Ogos 2025 – Lima usahawan asnaf diberi peluang untuk memperkasa potensi keusahawanan mereka menerusi Projek MULA (Micro-Entrepreneurship for Local Empowerment of Asnaf), sebuah projek pembangunan komuniti yang dianjurkan oleh pelajar Sarjana Pengajian Perniagaan (Master of Business Administration) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Graduate School of Business (UKM-GSB)

Projek yang diadakan dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Negarawati Tanahair ini bertujuan untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing dan berupaya menjana pendapatan sendiri secara mampan.

Program selama sebulan di Hulu Langat itu merangkumi bengkel praktikal dalam bidang keusahawanan, pemasaran, dan pengurusan kewangan serta sesi ceramah motivasi bersama pengasas Gula Cakery, Pn. Arieni Adriena.

Peserta turut menyertai lawatan industri ke kilang Mamasab International Sdn Bhd di Petaling Jaya yang memberikan pendedahan secara langsung kepada operasi industri makanan dan minuman (F&B) serta menerima bimbingan secara peribadi daripada beberapa usahawan berjaya seperti Pengarah Mamasab International, En. Rizal Saim, dan juga Pengerusi Eksekutif Authentic Venture Sdn Bhd, Ir Aziz Ismail.

Sesi penutup berlangsung di UKM-GSB dengan pembentangan pelan perniagaan oleh peserta kepada panel juri serta pameran produk jualan mereka ini turut disempurnakan dengan kehadiran Dekan UKM-GSB, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, bersama penaja dan tetamu jemputan daripada institusi kewangan seperti Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, dan Pintas Utama Sdn Bhd.

Pemenang menerima kapital perniagaan sebanyak RM3,000 (johan), RM2,000 (naib johan) dan RM1,000 (ketiga), berserta tablet; manakala tempat keempat dan kelima menerima RM500 dan manfaat lain.

Dalam ucapan penutup, wakil Bank Islam, Ustaz Mohd Juzaili Juhan selaku Ketua Pembangunan Keusahawanan, menyatakan inisiatif institusi tersebut untuk menyediakan bantuan modal dan latihan tambahan kepada semua peserta sebagai sokongan kepada kelangsungan perniagaan mereka.

“Setelah menilai pembentangan peserta, kami melihat potensi besar dalam perniagaan mereka.

“Diharapkan program seperti Projek MULA dapat diteruskan bagi memperkasa komuniti tempatan pada masa hadapan,”

“Tambahan pula, penglibatan Bank Islam dalam inisiatif iTEKAD, sebuah program pembiayaan sosial patuh syariah di bawah Bank Negara Malaysia membuktikan komitmen kami dalam menyokong usahawan mikro berpendapatan rendah dan asnaf melalui pembiayaan mikro, kapital perniagaan, serta latihan dan bimbingan keusahawanan berstruktur, di mana ia merupakan usaha yang selaras dengan matlamat Projek MULA,” jelasnya.

Salah satu peserta Projek MULA yang merupakan ibu tunggal, kini berjuang melawan kanser ovari tahap pertama dan pengasas DapoQhaseh ialah Pn. Siti Fatimah.

“Saya amat bersyukur atas peluang yang diberi oleh UKM-GSB dan para pelajarnya.

“Peluang ini mengubah hidup saya dan memberikan harapan baharu, keyakinan dan satu komuniti yang kini saya rasa saya sebahagian daripadanya,” katanya.

Leave a Reply