Oleh Dr. Fitri Fareez Ramli
Mutakhir ini, laporan mengenai kes buli pelajar mendapat liputan meluas di media massa dan menjadi isu hangat yang diperkatakan dalam kalangan masyarakat. Pendedahan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran orang ramai, malah turut mencetuskan usaha kolektif pelbagai pihak untuk mencari formula paling berkesan dalam menangani gejala buli.
Buli ialah satu bentuk penderaan fizikal, mental dan sosial yang boleh berlaku di mana sahaja, termasuk di rumah dan sekolah. Dengan perkembangan teknologi, buli bukan hanya berlaku di tempat tertentu, malah turut berlaku dalam bentuk siber. Walaupun boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, buli lazimnya meninggalkan kesan psikologi jangka panjang.
Buli dan Risiko Gangguan Kesihatan Mental
Kajian-kajian yang dijalankan di Asia dan Eropah menunjukkan bahawa buli dalam kalangan pelajar merupakan salah satu faktor risiko kemurungan dan gangguan kegelisahan. Antara faktor perantara yang boleh menyumbang kepada pembentukan gangguan kesihatan mental ialah gaya perorangan (interpersonal) yang agresif dan perasaan rendah diri.
Mangsa yang dibuli secara berterusan boleh menjadi lebih agresif sebagai satu mekanisme untuk mempertahankan diri. Situasi buli yang berpanjangan juga menyebabkan mereka berasa tidak selamat, hilang kepercayaan, dan cenderung untuk bersikap curiga terhadap pembuli dan orang di sekeliling.
Perasaan rendah diri pula membuatkan seseorang berasa kecil dan tidak mempunyai sokongan sosial yang kukuh. Hal ini menyukarkan mereka untuk menghadapi tekanan, sekaligus menimbulkan rasa gelisah dan ketakutan terhadap apa yang mungkin berlaku pada masa depan. Akhirnya, jika tiada langkah pencegahan diambil, gangguan kegelisahan boleh terbentuk.
Selain itu, pengalaman dibuli turut menimbulkan pemikiran negatif terhadap diri dan menyebabkan perasaan putus asa timbul. Kedua-dua perubahan ini meningkatkan lagi risiko kemurungan dalam jangka panjang.
Bagaimana Otak Mangsa Buli Memproses Emosi
Walaupun usaha untuk membanteras buli amat penting, perhatian terhadap kesan buruk buli terhadap kesihatan mental mangsa juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Pemahaman tentang bagaimana kemurungan dan gangguan kegelisahan terbentuk dapat membantu kita untuk memahami perubahan otak yang terjadi akibat buli.
Kajian menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi pemprosesan emosi dan perhatian antara mangsa buli dan pembuli. Mangsa buli dilihat lebih sensitif terhadap isyarat sosial negatif seperti melihat orang menangis atau menderita kesakitan.
Mangsa juga menunjukkan tahap perhatian yang tinggi dan berterusan terhadap imej negatif, menandakan mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kemungkinan ancaman. Lebih membimbangkan, mereka juga sering kali salah mentafsir situasi neutral sebagai sesuatu yang berbahaya.
Selain itu, keupayaan untuk memahami keadaan mental diri sendiri dan orang lain supaya dapat memahami niat dan perasaan diri dan orang sekeliling yang dikenali sebagai mentalisation turut terjejas. Mangsa buli didapati kurang berupaya untuk memahami emosi marah dan gembira sebagai satu keadaan mental, sebaliknya lebih melihatnya sebagai tindakan fizikal atau tingkah laku semata-mata.
Apabila ditanya tentang pengalaman hidup yang berkaitan dengan emosi marah dan gembira, dapatan lain menunjukkan bahawa mangsa buli menggunakan lebih banyak perkataan yang menggambarkan kemarahan dan kegembiraan berbanding pembuli Hal ini mungkin kerana mereka lebih sensitif terhadap emosi.
Lebih menarik lagi, mangsa buli menggunakan lebih banyak perkataan yang menggambarkan kegembiraan berbanding dengan orang yang tidak membuli dan tidak dibuli. Ini mungkin merupakan salah satu cara mangsa buli untuk menyembunyikan perasaan negatif daripada orang lain dengan hanya berkongsi tentang perkara-perkara positif, tetapi menghindari perbualan tentang perkara-perkara negatif yang dialami.
Kesimpulan
Buli memberi kesan yang mendalam terhadap pola pemprosesan emosi dalam otak pelajar yang sedang berkembang. Jika tidak ditangani segera, mangsa buli berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan kegelisahan.
Melindungi kanak-kanak daripada buli bukan sahaja penting untuk kesejahteraan mereka pada masa kini, tetapi juga bagi menjamin kesihatan mental dan ketahanan emosi mereka pada masa hadapan.

Dr Fitri Fareez Ramli
Pensyarah dan penyelidik dalam bidang farmakologi di Jabatan Farmakologi,
Fakulti Perubatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
Dengan kepakaran dalam neuropsikofarmakologi dan pemprosesan emosi dalam gangguan mood.
