Oleh Dr. Umawathy Techanamurthy
Foto oleh Dr. Umawathy Techanamurthy dan Nigel Khoo
KAJANG, 17 September 2025 – Seramai 100 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama IEEE UKM Student Branch menjalankan Program Kitar Semula Kreatif: Memperkasa Inovator Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit, Kajang, baru-baru ini.
Program itu diadakan bagi memberi pendedahan berkenaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada 100 orang pelajar dari SMK Jalan Bukit, SMK Convent Kajang, SMK Jalan Reko dan SMK Bandar Baru Bangi
Sebanyak 17 modul kit STEAM interaktif telah dibangunkan dan digunakan sebagai alat pembelajaran berasaskan pengalaman dan disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasaran serta silibus bagi subjek Sains dan Reka Bentuk Teknologi (RBT) di sekolah menengah.
Antara kit-kit yang telah dibangunkan ialah Kit Generator Tangan, Periskop, Kipas Solar Mini, Turbin Angin, Roket Botol dan banyak lagi. Keseluruhan reka bentuk kit turut menekankan penggunaan bahan kitar semula seperti botol plastik, penutup, surat khabar lama dan kotak terpakai, sekaligus meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian dan tanggungjawab kepada alam sekitar dalam kalangan peserta.
Melalui program ini, pelajar-pelajar sekolah itu dapat melihat sendiri bagaimana teori diaplikasi melalui eksperimen sebenar. Mereka juga diberi ruang untuk mereka cipta penyelesaian uni menggunakan bahan kitar semula yang mudah didapati.
Majlis telah dirasmikan oleh Pengetua Sekolah SMK Jalan Bukit Kajang, Noor Lailah Muhammad Zain.


