Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak 2025 Angkat Ilmu Islam Dalam Pembangunan Kontemporari

Oleh Haiqal Rawlins
Foto oleh Izwan Azman

Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, merasmikan Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada 27 Ogos 2025.

Persidangan dua hari bertemakan “Menyemarak Ilmu: Membangun Dunia Kontemporari” itu menjadi platform dialog akademik, pertukaran idea dan pembentangan penyelidikan tentang sumbangan Sheikh Othman terhadap pembangunan sosial dan intelektual negeri. Ia turut bersempena sambutan ulang tahun ke-70 Majlis Islam Sarawak (MIS).

Dalam ucapan perasmian, Premier menekankan bahawa warisan Sheikh Othman kekal sebagai simbol ilmu Islam yang membimbing masyarakat majmuk Sarawak. Beliau turut mengaitkan konsep ‘asabiyyah’ Ibn Khaldun dengan perpaduan sebagai asas mengelak kemerosotan tamadun, selari dengan Visi Sarawak 2030.

“Pembangunan material mesti bergerak seiring nilai moral dan etika Islam,” tegas beliau sambil menyeru integrasi ilmu Islam dengan teknologi moden, termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian, tenaga hijau dan etika teknologi.

Persidangan ini menampilkan tokoh antarabangsa dan tempatan seperti Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Yassin; Prof. Dr. John L. Esposito dari Georgetown University (secara maya); serta Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharuddin dari Universiti Malaya. Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan, merangkumi isu kelestarian makanan, transformasi ilmu Islam, wakaf, dan etika teknologi.

Majlis penutup pada 28 Ogos telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, YB Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi. Resolusi strategik, yang dibentangkan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed, yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) UKM menekankan penubuhan Pusat Penyelidikan Kursi Sheikh Othman bertaraf antarabangsa, pengukuhan penyelidikan berasaskan falsafah Ibn Khaldun, serta pemerkasaan wakaf, zakat dan perakaunan Islam melalui pendigitalan.

Turut hadir pada majlis penutup adalah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu Haji Taha, Mufti Sarawak Sahibus Samahah  Datu Haji Kipli Haji Yassin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Sahibus Siyadah Tuan Haji Mual Haji Suaud dan lebih 700 peserta. Persidangan ini meneguhkan komitmen Sarawak untuk menjadikan Islam sebagai teras pembangunan lestari dan adil menjelang 2030.

Leave a Reply