Oleh Muhammad Iqbal Mohd Noor
Foto Nurul Asyiqin Mohamad Noor
KUALA LUMPUR, 22 September 2025 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Brill International, iaitu sebuah syarikat farmaseutikal yang memberi tumpuan kepada kajian dan rawatan mata bagi memperkukuh budaya ilmu,memperluas akses penerbitan berkualiti, meningkatkan peluang penyelidikan bersama, dan membuka ruang kolaborasi antarabangsa dalam penerbitan akademik serta penyelidikan perubatan.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar berkata kerjasama itu melibatkan dana penyelidikan berjumlah lebih RM74,000 yang diketuai oleh pakar oftalmologi, Prof. Madya Dr. Wan Haslina Wan Abdul Halim.
“Kerjasama yang diadakan melalui pemeteraian Surat Hasrat (LoI) ini menjadi pemangkin kepada usaha Fakulti Perubatan untuk menonjolkan hasil penyelidikan tempatan di persada antarabangsa, dengan sokongan kepakaran Brill International,” katanya.
Beliau juga menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama tersebut mampu menghasilkan penemuan baharu yang memberi manfaat besar kepada pesakit di Malaysia, khususnya di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), dan seterusnya memberi impak positif kepada masyarakat sejagat.
Hubungan erat UKM–Brill telah bermula sejak 2024, termasuk pertemuan penting semasa Persidangan ESCRS di Barcelona, dan diperkuatkan lagi dengan lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Brill, Jordi Martinez ke Jabatan Oftalmologi HCTM pada Jun 2025. Lawatan itu telah membuka jalan kepada pelbagai usaha sama penyelidikan dan latihan akademik.
Selain itu, UKM dan Brill International telah berjaya menganjurkan kursus Ocular Emergency Masterclass – kursus pertama seumpamanya di Malaysia. Kursus ini menampilkan penggunaan instrumen inovatif Corneal Aesthesiometer Brill (CEB), menjadikan HCTM sebagai pusat perintis penggunaannya di Malaysia.
Prof. Madya Dr. Ruslinda berkata kerjasama strategik itu dilihat sebagai peluang besar untuk menerbitkan hasil penyelidikan tempatan pada platform antarabangsa yang berprestij.
“Melalui kepakaran dan jaringan Brill, lebih banyak kajian ilmiah daripada penyelidik Malaysia berpotensi diketengahkan, sekali gus mengangkat nama negara dalam arena penyelidikan global,” katanya.
Selain bidang oftalmologi, kerjasama tersebut juga membuka ruang penerbitan ilmiah, penyelidikan multidisiplin, serta penterjemahan karya-karya bernilai tinggi.
“Ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkukuh budaya ilmu, inovasi, dan daya saing negara dalam sektor akademik serta kesihatan.
“Kerjasama bermakna ini bukan sahaja akan menghasilkan penemuan baharu dalam bidang oftalmologi, malah menjadi asas kukuh bagi kolaborasi jangka panjang yang lebih berimpak.
“Saya yakin usaha ini akan memberi manfaat kepada pesakit, komuniti akademik dan masyarakat keseluruhannya,” kata Prof. Madya Dr. Ruslinda.

