KUALA LUMPUR, 22 September 2025 – Pelajar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Thiruthanigesh Shunmugham, 23, menerima Most Outstanding Delegate Award for the Economic Committee of the 5th Model ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), yang diadakan di Parlimen Malaysia, semalam.
Beliau yang merupakan pelajar tahun lima fakulti itu telah menewaskan 67 peserta lain yang hadir mewakili 10 negara ASEAN.
Thiruthanigesh berkata dalam persidangan 5th Model AIPA, terdapat dua anugerah bagi setiap jawatankuasa (Jawatankuasa Sosial, Jawatankuasa Politik dan Jawatan Kuasa Ekonomi) iaitu Most Outstanding dan Best Delegate.
“Saya menang Most Outstanding Delegate Award bagi Jawatankuasa Ekonomi. Jadi, untuk berjaya dipilih daripada 67 peserta yang mewakili kesemua 10 negara ASEAN, ia merupakan sesuatu yang cukup luar biasa,” katanya.
Beliau berkata dalam Jawatankuasa Ekonomi, mereka membahaskan resolusi bertajuk Memperkukuh Infrastruktur Digital dan Perlindungan Pengguna ke Arah Ekonomi Digital ASEAN yang Inklusif.
“Perbincangan ini memberi tumpuan kepada peluasan liputan jalur lebar, penurunan kos internet, dan merapatkan jurang digital terutama di kawasan luar bandar.
“Kami turut membincangkan cara ASEAN boleh memperkasa PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), melindungi pengguna, menyeragamkan undang-undang e-dagang, dan memperkukuh ketahanan siber berikutan kerugian global akibat jenayah siber yang dijangka mencecah USD 10.5 trilion menjelang 2025.
“Selain itu, kami juga mengangkat isu pemerkasaan belia, tadbir urus AI (kecerdasan buatan) — merujuk kepada EU AI Act, serta cadangan mewujudkan Dana Inklusi Digital ASEAN. Perbahasan dilakukan secara terperinci bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, keterangkuman, kelestarian, dan keselamatan digital,” jelasnya.
Berkenaan dengan penyertaannya dalam Model AIPA, katanya beliau ingin merasai sendiri bagaimana kerjasama ASEAN berfungsi pada peringkat tertinggi, di mana dasar, diplomasi dan perundingan bergabung untuk menangani cabaran serantau.
“Sebagai pelajar perubatan yang berminat dalam dasar kesihatan dan pembangunan mampan, Jawatankuasa Ekonomi menjadi pilihan kerana ia membincangkan isu keterangkuman digital, daya tahan ekonomi dan inovasi yang memberi kesan langsung kepada kesihatan awam, pendidikan dan kesaksamaan,” tambahnya.
Ujar Thiruthanigesh, mewakili Lao PDR memberinya peluang untuk memperjuangkan penyertaan belia, tadbir urus AI, dan program literasi digital yang lebih kukuh, sejajar dengan keyakinan saya bahawa masa depan digital ASEAN mesti bersifat inklusif dan beretika.
“Pengalaman ini mengasah kemahiran saya dalam analisis dasar, pengucapan awam dan membina konsensus.
“Kajayaan saya menerima anugerah ini juga meningkatkan komitmen saya untuk menyumbang secara konstruktif dan bekerjasama dengan rakan perwakilan. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi peluang untuk menghubungkan minat saya dalam perubatan, teknologi dan dasar kepada agenda pembangunan serantau ASEAN,” katanya.
Model AIPA adalah simulasi Parlimen ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), di mana pelajar bertindak sebagai perwakilan negara anggota ASEAN untuk membahas isu serantau, merangka resolusi, dan mencapai konsensus bersama. Ia mencerminkan proses sebenar AIPA, termasuk sidang plenary dan mesyuarat jawatankuasa tetap, sambil memberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman diplomasi serantau, perundingan dasar dan kerjasama pelbagai hala.
Model AIPA 2025 yang diadakan semalam di Parlimen Malaysia telah dirasmikan oleh Presiden AIPA merangkap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr) Johari Abdul.

