ICOSH 2025 Fokus Hubungan Manusiawi dan Kecerdasan Buatan Teknologi

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Komunikasi UKM

PUTRAJAYA, 10 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (The 9th International Conference on Social Sciences and Humanities – ICOSH 2025) yang mengangkat tema Hubungan Manusiawi: Sains Sosial dalam Era Kecerdasan Buatan dan Teknologi.

Persidangan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini memberi tumpuan kepada pelbagai bidang ilmu sains sosial dan kemanusiaan termasuk kerja sosial, psikologi, bahasa, sastera, komunikasi, keselamatan, budaya, politik, agama, digital, ekonomi dan lain-lain.

Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, kemunculan era baharu yang ditandai oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan data raya kini telah menyentuh hampir setiap aspek kehidupan manusia.

Menurut beliau, perkembangan pesat ini membuka peluang besar untuk memperkukuh pembangunan negara dan meningkatkan daya saing di peringkat global.

Namun begitu, pada masa yang sama, ia turut menimbulkan cabaran baharu yang menuntut kita menilai semula nilai kemanusiaan agar tidak tenggelam dalam arus teknologi yang bergerak begitu pantas.

“Diharapkan Persidangan ICOSH 2025 ini akan menjadi medan untuk kita membina wacana bersama tentang bagaimana AI boleh memperkasa manusia, dan bukan menggantikan manusia; bagaimana kita boleh mengimbangi logik mesin dengan emosi dan empati; dan bagaimana kita boleh membina masa depan digital yang adil, saksama dan berperikemanusiaan.

“Semoga persidangan ini berupaya membentuk intervensi sains sosial yang berasaskan bukti, agar perkembangan AI dapat dibimbing oleh nilai kemanusiaan, etika, dan kesejahteraan insan,” katanya.

ICOSH 2025 menjadi platform pertemuan ilmuwan, penyelidik, pembuat dasar dan pemain industri bagi membincangkan pendekatan strategik serta membentangkan hasil kajian dalam usaha mendepani era baharu ini.

Turut hadir ke persidangan ini, YB Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Leave a Reply