Oleh Syazwani Mastor
Foto Fakulti Sains Kesihatan
KUALA LUMPUR, 23 September 2025 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Camp Dream. Speak. Live., iaitu program terapi intensif untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami kegagapan.
Lebih membanggakan, program itu merupakan program yang pertama diadakan di Malaysia.
Pakar Kegagapan Tempatan, yang merupakan Pensyarah Kanan Program Sains Pertuturan FSK, Prof Madya Dr. Chu Shin Ying berkata program Camp Dream. Speak. Live. itu membuktikan komitmen UKM dalam menyokong komuniti yang memerlukan.
“Program ini memberikan impak yang bermakna kepada kanak-kanak dan remaja Malaysia yang menghadiri kem tersebut.
“Kami bertuah dapat bekerjasama dengan Arthur M. Blank Center yang merupakan pelopor dalam bidang kegagapan dan juga pembiaya program,” katanya.
Program yang berlangsung selama empat hari itu dikendalikan oleh Program Sains Pertuturan dan Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE) FSK, dengan kerjasama strategik Arthur M. Blank Center for Stuttering Education and Research, University of Texas at Austin, Amerika Syarikat.
Beliau berkata latihan yang diterima membolehkan mereka membawa pendekatan terkini yang terbukti berkesan kepada kanak-kanak Malaysia.
“Kami berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Antara topik yang dibincangkan adalah Pendedahan Diri, Bahasa dan Keterbukaan tentang Gagap, Cara Mengharungi Kesukaran, Cabaran Bercakap serta Berjalan dengan Emosi dan Keyakinan.
Seramai empat orang sukarelawan dari kalangan terapis swasta turut membantu dalam menjayakan program ini.

