Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 23 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menganjurkan persidangan 5th Model ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) 2025, yang meruapakan persidangan pertama menghimpunkan 67 belia dari 10 buah negara ASEAN di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.
Bertemakan “Empowering Youth Participant in the Sustainability and Inclusivity Agenda”, persidangan ini diadakan bersempena 46th General Assembly of AIPA.
Presiden AIPA merangkap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr) Johari Abdul berkata melalui program itu para peserta dapat berbincang perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat AIPA yang diadakan baru-baru ini.
“Model AIPA ini sangat bengus kerana kita menghimpunkan belia ASEAN untuk berkumpul dan berbincang berkenaan isu-isu yang dibawa semasa 46th General Assembly of AIPA, kerana pada akhirnya yang akan mewarisi ASEAN ini adalah generasi anak muda hari ini.
“Sebab itulah hasil mesyuarat AIPA itu penting untuk dimaklumkan kepada peserta Model AIPA bagi membolehkan mereka berbincang dan memperhalusi keputusan yang dibuat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Canselor, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Ts Dr Faizal Mohamed berkata Model AIPA adalah satu agenda yang sangat baik khususnya kepada UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan, dan juga Malaysia secara umumnya.
“Dengan tema yang diberikan, peserta Model AIPA dapat mempelajari pelbagai perkara dan menjadikan persidangan ini sebagai satu batu loncatan dan pengalaman yang paling berharga kepada mereka, supaya pada masa akan datang apabila mereka menjadi pemimpin, mereka boleh menjadikan ini sebagai salah satu rujukan utama.
“Pengalaman mereka walaupun hanya menjadi model saja di Parlimen, tetapi memberi impak yang sangat besar,” katanya.
Model AIPA adalah simulasi Perhimpunan Agung AIPA yang direka untuk menyediakan peserta dengan pengalaman langsung dalam proses parlimen serantau dan meningkatkan pemahaman kerjasama antara parlimen dalam ASEAN.
Melalui Model AIPA, peserta digalakkan untuk memikirkan kaedah dan tindakan yang boleh diambil semasa simulasi Model AIPA. Dengan penyertaan ini, peserta boleh membantu membentuk inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan, menyokong visi rantau ini untuk masa depan yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat.

