Sinergi UKM–KPMG Bentuk Generasi Pemimpin Berintegriti dan Berdaya Saing Global

Oleh Haiqal Rawlins
Foto oleh Ikhwan Hashim

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan KPMG PLT terus memperkukuh hubungan strategik melalui pemeteraian Addendum Memorandum Persefahaman (MoU) yang diterajui oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM hari ini.

Addendum ini menandakan fasa baharu dalam kolaborasi yang telah terjalin sejak 2022, merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan pelajar, penyelidikan bersama dan pendedahan industri yang memberi impak langsung kepada warga universiti.

Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi,  berkata, kerjasama strategik ini membuktikan keberkesanan model akademia–industri UKM dalam melahirkan graduan yang diiktiraf di peringkat global.

“UKM komited melahirkan graduan bukan sahaja work-ready, tetapi juga value-ready iaitu graduan yang berilmu, berakhlak, berintegriti dan berjiwa kepimpinan,” katanya.

Tambah beliau, melalui kepakaran akademik UKM dan pengalaman praktikal KPMG, kedua-dua pihak berpotensi meneroka bidang baharu seperti ESG assurance, sustainability reporting dan digital audit transformation bagi memperkukuh ekosistem bakat profesional negara.

Kerjasama ini membuka peluang kepada pelajar FEP melalui program pembangunan bakat, latihan industri, dan pendedahan kepada realiti pasaran kerja. Kolaborasi ini juga menyokong aspirasi Kerajaan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan ilmu. Dengan komitmen bersama, UKM dan KPMG bertekad melahirkan pemimpin masa depan yang profesional, berintegriti, dan bersedia bersaing di peringkat global.

Majlis ini turut dihadiri oleh Partner and Head of Risk Consulting, Encik Chan Chee Keong, Timbalan Dekan (Hal ehwal Jaringan Industri Masyarakat) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan , Prof. Madya Dr. Muhammad Hakimi Mohd Shafiai dan Director of People, Performance and Culture, Cik Fione Ho Wan Chin yang mewakili KPMG in Malaysia.

Leave a Reply