UKM Rai Keanggotaan Timor-Leste dalam Asean melalui Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-7

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 29 Oktober 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menerima kehadiran Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão, bagi menyampaikan syarahan bertajuk “Timor-Leste’s Accession to ASEAN: An Act of Regional Solidarity in a Fracturing World” sempena Majlis Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-7 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM.

UKM amat berbesar hati menjemput Kay Rala Xanana Gusmão untuk berkongsi pengalaman dan pandangan beliau, selain mengiktiraf pencapaian negara Timor-Leste serta peranan penting yang semakin berkembang dalam keluarga ASEAN.

Syarahan ini turut menandakan satu detik bersejarah dalam hubungan serantau apabila ia diadakan bagi meraikan keanggotaan rasmi Timor-Leste dalam ASEAN, satu pencapaian yang membanggakan serta melambangkan kemajuan dan solidariti rantau ini.

Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh, berkata UKM sentiasa komited dalam memperkukuh peranan akademia sebagai rakan strategik kepada pelbagai inisiatif serantau dan antarabangsa.

“UKM secara aktif bekerjasama dengan badan antara kerajaan, pasukan sosio-budaya, serta rakan hal ehwal luar dalam pelbagai inisiatif serantau, termasuk hak asasi manusia dan pembangunan mampan.

“Penglibatan UKM dalam penyediaan draf ASEAN Vision 2045 mencerminkan komitmen kami untuk memupuk komuniti ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpandangan jauh,” katanya.

Kay Rala Xanana Gusmão merupakan tokoh penting dalam sejarah moden Timor-Leste. Beliau mengetuai gerakan penentangan rakyat Timor-Leste yang akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan bagi negara tersebut. Beliau juga merupakan Presiden pertama Republik Timor-Leste yang dipilih melalui pilihan raya, sebelum kemudiannya berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Pada 1 Julai 2023, beliau kembali menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perlembagaan ke-IX susulan kemenangan parti CNRT dalam pilihan raya perundangan pada 21 Mei 2023, hasil pembentukan gabungan dengan parti PD, iaitu kekuatan politik ketiga terbesar negara itu.

Sebagai Perdana Menteri, beliau terus mengetuai rundingan sempadan darat dan maritim dengan Republik Indonesia serta memacu pelbagai inisiatif ekonomi biru yang menjadi teras kepada pembangunan mampan Timor-Leste.

Sepanjang kerjayanya, Xanana Gusmão telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang keamanan, kepimpinan dan pemahaman antara budaya.

Antara yang paling menonjol termasuk anugerah keamanan dan kemanusiaan antarabangsa yang diterima pada awal tahun 2000-an, sebagai pengiktirafan terhadap integriti kepimpinan serta dedikasi beliau terhadap dialog global. Baru-baru ini, beliau turut menerima dua Anugerah Lusophony bagi menghargai sumbangan seumur hidupnya terhadap perpaduan budaya dan bahasa.

“Kami percaya bahawa semangat solidariti serantau yang dizahirkan melalui penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi, sekali gus memperkukuh jaringan ilmu dan inovasi demi kemajuan bersama,” ujar Prof. Dr. Sufian.

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM berkenan mencemar duli ke majlis syarahan ini.

Turut berangkat Pro-Pro Canselor, YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tan Sri Datuk Rafiah Salim serta YAM Tunku Zain Al ‘Abidin ibni Tuanku Muhriz.

Leave a Reply