Keutuhan DNA, Kunci Umur Panjang dan Kesihatan Seumur Hidup

Oleh Haiqal Rawlins
Foto Pusat Komunikasi Korporat

Keutuhan genetik bukan sekadar istilah saintifik yang rumit, tetapi sebenarnya asas kepada kesejahteraan kesihatan kita semua. Itulah mesej utama yang disampaikan oleh Prof. Dr. Nor Fadilah Rajab dalam Syarahan Perdana Profesor yang bertajuk ‘Keutuhan Genetik Dalam Kesejahteraan Kesihatan’. Syarahan tersebut disampaikan di Bilik Senat UKM pada 14 November 2025.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof. Dr. Suzana Shahar,serta barisan pengurusan fakulti.

Prof. Dr. Nor Fadilah yang merupakan pakar toksikologi biokimia dan molekul dari Fakulti Sains Kesihatan dan Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE),  menggunakan metafora ‘Pokok Kesihatan’ dalam isi syarahan beliau. Dalam analogi ini, akar melambangkan gen yang sihat, batang mewakili ilmu dan faktor demografi, dahan menggambarkan gaya hidup seperti pemakanan dan senaman. Manakala daun pula merujuk kepada kesihatan fizikal dan mental yang terhasil.

“Pokok sihat datang daripada akar yang kukuh. Begitu juga manusia. Jika gen rosak, risiko kanser, diabetes atau penyakit neurodegeneratif tetap ada walaupun kita menjaga pemakanan dan bersenam,” jelas beliau.

Beliau menerangkan bahawa keutuhan genetik merangkumi kestabilan dan fungsi DNA yang sempurna. Kerosakan boleh datang daripada mutasi, perubahan kromosom atau pendedahan kepada toksin persekitaran. Untuk mengesan masalah lebih awal, beliau memperkenalkan beberapa teknik mudah seperti Ujian Ames untuk mengenal pasti bahan karsinogen, Asai Komet yang menunjukkan DNA rosak seperti ekor komet di bawah mikroskop dan Asai Mikronukleus bagi mengesan aberasi kromosom.

“Kita kini boleh ‘scan’ gen seperti membaca QR code untuk melihat risiko sebelum sakit. Ini membolehkan pencegahan lebih awal dan lebih tepat,” tambah beliau.

Prof. Dr. Nor Fadilah turut menekankan kepentingan pendekatan multi-omik dalam memahami penyakit, yang membuka jalan kepada rawatan lebih peribadi berdasarkan profil genetik seseorang. Beliau juga menegaskan keperluan ujian genetik terhadap produk herba, kosmetik dan racun perosak sebelum dipasarkan bagi memastikan ia tidak merosakkan DNA pengguna.

“Air, udara dan tanah yang bersih bukan sekadar isu alam sekitar. Ia juga benteng pertama dalam melindungi genetik rakyat,” katanya lagi.

Dalam aspek penuaan sihat, keutuhan genetik turut menjadi penanda awal kepada kecelaruan kognitif dan penyakit neurodegeneratif. Pemakanan kaya antioksidan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan teh hijau, disertai gaya hidup aktif, mampu membantu mengekalkan kestabilan DNA.

Sebagai penyelidik prolifik dengan lebih 200 artikel dan puluhan pelajar PhD di bawah bimbingannya, Prof. Dr. Nor Fadilah menunjukkan bahawa penyelidikan boleh memberi manfaat terus kepada masyarakat. Beliau berharap lebih banyak dasar kesihatan berasaskan genetik dapat dilaksanakan, termasuk saringan rutin, pendaftaran produk melalui ujian toksikologi genetik dan kerjasama erat antara universiti dan industri.

“Kesihatan masa depan bergantung pada bagaimana kita menjaga gen hari ini,” ujar beliau mengakhiri syarahan.

Leave a Reply