Oleh Dr Nur Hana Hamzaid (Fakulti Sains Kesihatan)
KUALA LUMPUR, 18 November 2025 – Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan (PMFSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan program InsureLit 2.0, iaitu sebuah kempen dan program yang direka khas untuk pengurusan kewangan dan insuran.
Program sehari yang diadakan baru-baru ini di fakulti tersebut telah berjaya mengumpulkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada pelajar FSK dari tahun akademik yang berbeza.
Melalui program ini, para peserta dapat meneroka konsep kewangan utama melalui permainan papan (boardgame) InsureLit yang interaktif, di mana peserta dapat belajar tentang ilmu memperoleh, menyimpan serta perlindungan sambil memahami kepentingan insurans dan takaful dalam menguruskan kehidupan.
Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk peserta diberi peluang untuk membuat ujian glukos dalam darah, selain penyediaan demo penyediaan snek makanan berprotein.
Program yang mendapat kerjasama daripada Syarikat BookDoc, di bawah tajaan Sun Life Malaysia itu dirasmikan oleh Timbalan Dekan Prasiswazah, Prof Madya Dr Mazlyfarina Mohamad.
Sesi forum juga turut diadakan dengan membincangkan isu kewangan dari pelbagai aspek termasuk kepentingan literasi kewangan dan tips dalam mengekalkan amalan kewangan yang baik, terutama bagi generasi muda.
Misi program itu melangkaui aspek kesedaran, di mana ia turut memberi inspirasi kepada para peserta.
Beberapa cadangan turut diambil sebagai langkah dalam menggalakkan individu untuk lebih mandiri dalam menjana pendapatan seperti membuat perancang awal, disamping melindungi aset dan bergerak dengan yakin ke arah keselamatan kewangan yang berkekalan.

