Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 22 November 2025 – 10 tahun belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukanlah satu tempoh yang singkat, dan dalam tempoh itu juga Meor Muhammad Naiman Meor Mohd Jamil, mencipta kejayaan demi kejayaan.
Diusia 13 tahun, anak kelahiran Bandar Diraja Kuala Kangsar,Perak itu sanggup berjuahan dengan keluarga apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian di Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM.
Anak pasangan bekas guru yang mempunyai minat mendalam dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) sejak kecil itu terus memilih UKM bagi meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Multimedia), di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM).
“Sejak kecil saya suka membongkar, mencuba perkara baharu, dan membayangkan bagaimana sesuatu boleh dicipta semula supaya ia menjadi lebih baik.
“Tetapi semakin saya membesar, saya mula sedar bahawa teknologi bukan sekadar tentang ciptaan atau sistem, ia tentang manusia, tentang bagaimana sesuatu yang kita buat boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Meor Muhammad Naiman berkata sepanjang pengajiannya, dia tidak mensia-siakan peluang yang ada, sebaliknya mencari ruang untuk menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti termasuk pertandingan teknologi.
“Perjalanan ini tidak mudah, ada masa saya gagal dan hilang keyakinan diri. Namun di setiap detik sukar itu, saya belajar untuk bangun semula. Saya belajar bahawa kejayaan bukanlah tentang siapa yang paling pantas, tetapi siapa yang tidak pernah berhenti berjalan walau dalam keadaan paling perlahan,” ujarnya.
Beliau berkata sepanjang berada di UKM, beliau belajar lebih daripada apa yang tertulis dalam buku, belajar tentang erti kesungguhan, keikhlasan, dan persahabatan.
“Saya belajar bahawa ilmu tanpa adab tidak membawa keberkatan, dan kejayaan tanpa rasa syukur tidak membawa ketenangan,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.83 itu.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja di Majlis Konvokeysen ke-53 UKM itu berkata banyak pertandingan berkaitan inovasi dan teknologi dron disertainya.
“Antaranya ialah menjadi juara dalam Malaysia Drone League 2024, juara Chase The Barracuda Challange MultiGP Malaysia 2024 dan mewakili Malaysia di Fédération Aéronautique Internationale E-Drone Racing World Cup 2024.
“Selain itu, saya juga turut memenangi Arena STEM National Innovation Competition 2025, Anugerah Pelajar Terbaik FTSM 2025, Anugerah Sukan FTSM 2025, Anugerah Inovasi Digital 2024 dan Anugerah Keusahawanan Inovatif 2024,” katanya yang meneri tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sepanjang pengajian sarjana muda di UKM.
Kecemerlangannya turut mendapat liputan TV1, TV3 dan New Straits Times yang membicarakan tentang teknologi HoloMedicine Extended Reality serta kemajuan dunia dron di Malaysia.
Kini, beliau yang berkhidmat di syarikat CelcomDigi sebagai SR dan Metavers Specialist aktif dalam program khidmat masyarakat melalui MyFundAction dan Misi Remote Healthcare di pedalaman Sarawak, iaitu sebuah program inisiatif bersama CelcomDigi dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak.


