Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 23 November 2025 – Ujian hidup yang menimpa Syed Zuliqbal Syed Abdul Halim, 23, sejak berumur sembilan tahun tidak dijadikan alasan untuknya meraih kejayaan.
Penerima Anugerah Tun Abdul Razak di Majlis Konvokesyen Ke-53 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata beliau menghadapi kesukaran dalam pelajaran sejak di bangku sekolah rendah kerana ayahnya sering keluar masuk hospital akibat daripada komplikasi beberapa jenis penyakit.
“Ketika darjah tiga, saya sering ponteng sekolah kerana ayah saya selalu keluar masuk hospital. Hospital adalah rumah kedua saya ketika itu. Akibat daripada itu, keputusan peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) saya agak teruk, menyebabkan saya tidak dapat belajar di sekolah yang bagus.
“Ayah meninggal dunia semasa saya berumur 13 tahun. Dua tahun kemudian, mak pula jatuh sakit. Mak diuji dengan sakit teruk, menyebabkan saya sekali lagi tidak dapat ke sekolah secara konsisten.
“Sepanjang tiga bulan mak berulang alik dari rumah di Mentakab ke Hospital Kuala Lumpur, saya tidak dapat ke sekolah. Mak tidak boleh berjalan, hanya terbaring sahaja di katil,” katanya memulakan bicara.
Syed Zuliqbal berkata sepanjang tempoh itulah jugalah dia menjaga ibunya, bergilir-gilir dengan adik beradik yang lain.
“Semasa mak sakit, hanya saya seorang saja yang ada di rumah. Kakak-kakak dan abang-abang pula berada di tempat lain atas tuntutan kerja. Tetapi mereka juga kerap pulang untuk bantu uruskan mak,” kata anak bongsu dari lima adik beradik.
Disebabkan beliau kerap tidak hadir ke sekolah, keputusan peperiksaan PT3 tidak begitu bagus dan menyebabkannya tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang sains tulen.
“Cita-cita saya nak jadi seorang Doktor atau Pegawai Farmasi, tetapi saya tak dapat melanjutkan pelajaran dalam aliran sains semasa tingkatan empat kerana ada subjek PT3 saya gagal.
“Tetapi saya bangkit semula dan mula menumpukan perhatian kepada pelajaran selepas mak kembali sihat.
“Saya terus tekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat melanjutkan pelajaran di menara gading. Alhamdulillah, selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya dapat melanjutkan pengajian di program asasi UiTM,” katanya.
Syed Zuliqbal berkata selepas tamat asasi dia memilih untuk mengikuti Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di UKM, walaupun dalam masa yang sama beliau juga mendapat tawaran di Institut Pendidikan Guru.
“Walaupun cita-cita saya untuk menjadi Doktor tidak kesampaian, tapi saya yakin apa yang saya dapat hari ini adalah berkat doa mak saya yang tiada hijab,” katanya.
