Kakak Naik Pentas Terima skrol Allahyarhamah Wan Adlin Nadhilah

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 24 November 2025 – Pilu hati seorang kakak yang melangkah di atas pentas untuk menerima skrol allahyarhamah adiknya yang meninggal dunia akibat kemalangan kira-kira dua minggu sebelum majlis konvokesyen berlangsung.

Wan Aishah Wahidah Wan Nasrul Hakim, 24, menguatkan diri walaupun masih bersedih dengan kehilangan adiknya, Allahyarhamah Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim, 23, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dia berkata hatinya pilu dan kakinya berat untuk melangkah bagi menerima skrol adiknya, tetapi dia tetap gagahi juga.

“Saya tak dapat menahan sebak ketika menerima skrol tersebut. Rasa gementar. Tapi saya bangga dengan adik,” katanya yang menerima skrol daripada Pro-Canselor UKM, Tan Sri Datuk Rafiah Salim di Majlis Konvokesyen Ke-53 UKM, di sini.

Mengimbas memori bersama, Wan Aishah Wahidah mengakui sangat rapat dengan adiknya kerana mereka tinggal sebilik di rumah keluarga dekat Temerloh, Pahang.

Wan Aishah Wahidah yang kini masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) sudah lebih sebulan tidak bertemu dengan adiknya, tetapi mereka kerap membuat panggilan video.

Sementara itu, ibunya, Fatin Sharina A Halim, 46, berkata, dia kuatkan diri juga untuk datang ke majlis konvokesyen itu kerana mahu menunaikan impian anaknya, Wan Adlin Nadhilah.

“Saya tak mampu nak naik ke atas pentas. Saya datang juga majlis ini sebab arwah teruja nak datang.

“Jadi dengan cara ini saja dapat tunaikan impian arwah yang sudah lama tunggu majlis (konvokesyen) ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof Dr Mohd Azlan Shah Zaidi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.

“Difahamkan arwah baik dengan kawan dan keluarga malah suri teladan kerana anak pertama yang habiskan pengajian.

“Saya berharap keluarga tabah hadapi situasi dan saya doakan yang terbaik dalam mengharungi ujian ini,” katanya.

Leave a Reply