Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 26 November 2025 – Graduan doktor falsafah (PhD) dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Dr. Mohd Khairul Faidzi Muhamad Paudzi menyiapkan tesisnya sedikit demi sedikit ketika menjalani rawatan kanser sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Dr Faidzi yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia disahkan menghidap kanser limfoma pada penghujung 2023 ketika beliau hampir menyiapkan 80 peratus pengajiannya.
Beliau menjalani rawatan intensif termasuk 12 kitaran kemoterapi dan 20 sesi radioterapi.
“Setiap sesi kemoterapi mengambil masa lima hingga enam jam dan selepas itu selama seminggu saya memang tidak bermaya langsung.
“Namun selepas minggu pertama kesan rawatan mula berkurang, saya perlahan-lahan kembali menulis tesis. Satu hari satu halaman. Ada hari saya buat dua halaman.
“Saya mahu tinggalkan sesuatu untuk keluarga saya,” katanya.
Menurutnya, penyelia dan pemeriksa banyak membantu memudahkan proses pengajiannya, terutama sekali ketika sesi penilaian tesis (viva).
“Selepas semua rawatan habis, saya buat PET scan. Sel kanser telah mengecut dan tidak aktif, tetapi doktor tetap beri amaran ia boleh aktif semula,” katanya.
Kini, keadaan kesihatan Dr. Faidzi stabil dan beliau hanya menjalani rawatan susulan setiap lima bulan.
“Sepanjang perjalanan ini, isteri saya adalah sumber sokongan terbesar. Dia uruskan rumah, anak-anak dan semua tanggungjawab yang saya tidak mampu lakukan.
“Anak-anak pun faham bila saya tidak ada di rumah kerana rawatan di hospital.
“Isteri saya selalu pesan, pastikan saya tinggalkan satu legasi dan selesaikan tugas saya. Itu yang membuatkan saya terus kuat hingga sekarang.
“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup dan berkhidmat. Saya anggap perjalanan ini satu ujian dan peringatan supaya sentiasa menghargai masa, kesihatan, dan keluarga,” katanya.
