Semangat Juang dan Ketekunan: Inspirasi di Sebalik Kejayaan PhD “Graduate on Time”

Oleh  Dr. Nurhasyimah Abd Aziz (FKAB)

Bersempena Majlis Konvokesyen UKM yang ke-53, pelbagai kisah suka duka dapat disingkap dalam kalangan graduan demi menggegam sebuah ijazah tertinggi iaitu Ijazah Doktor Falsafah. Kejayaan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh yang ditetapkan, atau lebih dikenali sebagai Graduate on Time (GOT), merupakan pencapaian besar yang tidak dicapai oleh semua pelajar.

Perjalanan PhD sememangnya mencabar dan penuh dengan tekanan, kegagalan eksperimen, penulisan berulang kali, serta tuntutan akademik yang tinggi. Namun, bagi dua graduan PhD dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, gabungan disiplin, strategi bijak, serta sokongan sekeliling menjadikan impian GOT satu realiti.

Menurut Dr Altaf Hassan Molla yang memulakan pengajian PhD pada penghujung tahun 2021 ketika dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19, bukanlah sesuatu yang diimpikan untuk memiliki pembelajaran yang normal seperti sebelum pandemic COVID-19.

Walaubagaimana pun, UKM sebagai universiti pilihan beliau telah menyediakan pengalaman yang berbeza dengan menyediakan persekitaran yang menyokong untuk beliau terus aktif berkembang sebagai penyelidik dengan ketidakpastian situasi global pada ketika itu.

Beliau turut berkongsi bahawa sebagai perantau yang berjauhan dari tanah air, awal pengajiannya dipenuhi cabaran peribadi, termasuklah hampir kehilangan hala tuju dan kecenderungan menangguh kerja-kerja penyelidikan.

Namun, pertemuan berkala bersama penyelia, Prof. Ir. Dr. Zambri Harun, membantu beliau untuk kembali fokus dan memastikan kemajuan penyelidikan sentiasa berada pada landasan tepat.

Melalui pengajian PhD beliau yang memfokus kepada pemodelan berasaskan kepintaran buatan (AI), Dr Altaf berhasrat untuk membangunkan syarikat “”edu-tech global” yang menghasilkan kit pembelajaran berfokuskan AI dan STEM untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 16 tahun.

Kejayaan beliau mencapai GOT bagi pengajian PhD tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan berterusan daripada ahli keluarga serta penyelia yang sentiasa percaya dengan kemampuannya untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Selain itu, Dr Tang Jingchuan yang juga graduan Doktor Falsafah cemerlang dari jabatan yang sama berkata keputusan beliau memilih UKM pada tahun 2023 terbukti tepat dengan reputasi universiti sebagai institusi penyelidikan terkemuka yang menyediakan platform penyelidikan selari dengan minatnya dalam bidang aluminium komposit di bawah penyeliaan Prof. Dr. Mohd Zaidi Omar.

Kejayaan cemerlang tidaklah diperoleh dengan mudah, kerana menurut Dr Tang lagi, beliau menghadapi cabaran dari aspek penerbitan makalah yang menguji kemampuan beliau untuk menjawab komen-komen penilai dan sekaligus mengajar beliau untuk lebih teliti dan berdisiplin untuk menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti.

Beliau bersyukur kerana dikeliling sistem sokongan yang kukuh dari penyelia beliau yang menjadi tunjang utama dalam bidang akademik serta isteri yang berkorban untuk berjauhan menguruskan keluarga sendirian di China. Oleh itu, beliau bertekad untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang dan berhasrat untuk meneruskan karier dalam dunia akademik untuk membimbing generasi jurutera yang baharu.

Kejayaan graduan PhD yang berjaya Graduate on Time bukanlah nasib semata-mata. Ia adalah gabungan kerja keras, sokongan sekeliling, strategi yang konsisten, dan ketabahan luar biasa.

Kisah dua graduan cemerlang ini memberi inspirasi bahawa setiap cabaran dalam menamatkan pengajian boleh ditempuh dengan perancangan, disiplin dan semangat juang yang tinggi. Bagi pelajar PhD yang sedang berusaha, contoh kejayaan GOT membuktikan bahawa perjalanan PhD yang kelihatan panjang dan sukar pasti dapat dihabiskan sesuai pada masanya dengan keazaman yang tinggi.

Leave a Reply