Pelajar UKM Bawa Pengalaman STEM kepada Kanak-Kanak Terpinggir, Tidak Berdokumen dan Tanpa Kerakyatan

Oleh Dr. Umawathy Techanamurthy
Foto oleh Dr. Umawathy Techanamurthy & Izma Syazana

BANGI, 3 Disember 2025 – Seramai 21 orang pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Maaysia (UKM) bersama IEEE Malaysia Section dan IEEE UKM Student Branch mengadakan Program Kitar Semula Kreatif: Memperkasa Inovator Muda di Buku Jalanan Chow Kit (BJCK), Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur.

BJCK ialah sebuah organisasi tanpa keuntungan yang berfungsi sebagai pusat pembelajaran alternatif sejak penubuhannya pada tahun 2015, dengan tujuan untuk menyediakan peluang pendidikan percuma dan inklusif kepada kanak-kanak terpinggir, tidak berdokumen serta tanpa kerakyatan di kawasan Kuala Lumpur.

Program yang menggunakan geran IEEE TryEngineering STEM Grant 2025 turut melibatkan 30 orang pelajar yang berumur enam hingga 17 tahun bagi menjalani sesi praktikal projek STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) berasaskan pengalaman praktikal.

Dalam program itu, peserta diajar mengenai topik tenaga boleh diperbaharui dan tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

Para peserta menyiapkan projek turbin angin menggunakan kit STEM interaktif yang telah dibangunkan sebagai alat pembelajaran berasaskan pengalaman.

Kit itu juga telah disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasaran serta silibus bagi subjek Sains dan Reka Bentuk Teknologi (RBT) di Sekolah Menengah.

Keseluruhan reka bentuk kit turut menekankan penggunaan bahan kitar semula seperti penutup botol plastik, surat khabar lama dan kotak terpakai, sekaligus meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian dan tanggungjawab kepada alam sekitar dalam kalangan peserta.

Melalui program ini, para peserta meluahkan rasa untuk membuat lebih banyak projek STEM kerana mereka gembira mempelajari sesuatu yang baharu dengan kaedah praktikal.

Inisiatif ini diharap menjadi model berulang untuk memupuk minat terhadap STEM terutamanya dalam kalangan pelajar terpinggir.

Leave a Reply