Karnival Konvokesyen UKM Buka Ruang Interaksi Warga Universiti dan Industri

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

BANGI, 4 Disember 2025 – Karnival Konvokesyen (KARKON) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan sempena Majlis Konvokesyen Ke-53 UKM telah membuka ruang interaksi antara warga universiti dengan pihak industri.

Menteri besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata karnival itu menjadi platform yang bukan sahaja menggalakkan perkongsian ilmu dan pengalaman, malah memperkukuh jaringan kerjasama yang amat penting dalam merangka masa depan pendidikan negara dan negeri Selangor.

“Dalam era yang menuntut keselarasan antara dunia akademik dan realiti industri, usaha seperti ini menjaid peranan penting dalam memberikan pendedahan langsung kepada para pelajar berkenaan kehendak pasaran kerja serta cabaran dunia profesional.

“Ini selari dengan fokus Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan modal insan kita mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan bersedia menyertai gelombang pembangunan ekonomi negeri,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup Karnival Konvokesyen UKM, di sini.

Beliau berkata dengan mengaplikasikan enam elemen utama iaitu Inovasi, Industri, Alumni, Kesukanan, Kebudayaan dan Kesihatan,KARKON sewajarnya dilihat sebagai sebuah platform strategik yang menyeluruh dan berimpak tinggi dalam memperkasa mahasiswa.

“Kita di Selangor memerlukan graduan yang bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki daya saing tinggi, serta mampu menyesuaikan diri dengan kehendak industri, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi yang menjadi tumpuan negeri kita.

“Kreativiti dan kebolehsuaian ini adalah keperluan asas dalam memastikan sistem pendidikan negara terus relevan dan berdaya saing,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran KARKON perlu menjadi cerminan kepada peranan penting institusi pendidikan tinggi dalam mendokong agenda transformasi negara.

“Pendidikan tinggi berfungsi sebagai landasan kukuh dalam melahirkan generasi masa depan yang bersedia menghadapi cabaran serta merebut peluang yang wujud,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada 13,904 graduan UKM yang telah menamatkan penggajian di universiti kebangsaan itu.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih,  kesabaran yang utuh serta ketabahan saudara dan saudari dalam menempuh alam  pengajian. Selangor sentiasa menanti kehadiran tenaga kerja dan  usahawan muda yang berkaliber seperti anda,” katanya.

Dengan tema Legasi Rentak Madani, penganjuran KARKON menjadi manifestasi iltizam UKM dalam merealisasikan sebuah ekosistem pembelajaran yang menyeluruh, dinamik, dan lestari.

Pada majlis ini juga turut diadakan penyerahan cek cura daripada para penaja dengan jumlah keseluruhan melebihi RM300,000.

Majlis pada malam ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan iaitu Awie dan Andi Bernandee, selain persembahan dari warga UKM.

Leave a Reply