UKM Jalin Kerjasama dengan WBS, Lahirkan Pemimpin Wanita Berkarisma

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

SHAH ALAM, 1 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) memeterai memorandum Persefahaman (MoU) dengan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi membangunkan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita.

Kerjasama ini diadakan bagi melahirkan pemimpin wanita berpengetahuan dan berwibawa seiring sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam pembuat keputusan.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata MoU antara UKM dengan WBS dimeterai sebagai komitmen untuk bekerjasama dalam pembangunan serta pelaksanaan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita di bawah payung Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) sekali gus meningkatkan prestij program ini sebagai sebuah program yang diiktiraf.

“Ia merangkumi pembangunan modul latihan profesional yang diiktiraf bagi memperkukuh kapasiti wanita sebagai peneraju sektor awam, swasta dan komuniti,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara WBS dan UKM serta penyampaian biasiswa WBS Kohort 4 di Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor; serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Kadaruddin Aiyub.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Biasiswa Wanita Selangor Kohort 4 kepada enam penerima iaitu tiga penuntut peringkat Sarjana dan tiga lagi kepada Doktor Falsafah (PhD).

Dato’ Seri Amirudin berkata program tersebut memberi tumpuan kepada bidang seperti pengajian gender, kepimpinan wanita, ekonomi penjagaan, sains politik atau sains sosial dan pengajian pembangunan masyarakat sejajar dengan usaha memperkukuhkan kepimpinan wanita di Selangor secara menyeluruh.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, seramai 34 wanita telah menerima manfaat ini, dan 13 penerima daripda hohort terdahulu telah berjaya menamatkan pengajian.

“Program ini adalah antara komponen utama Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2024-2026 dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam pembangunan negeri,” katanya.

Leave a Reply