Oleh Dr Ruzanna Ab Razak
BANGI, 12 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerajui satu kajian nasional bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan kesalinghubungan digital yang lebih adil dan inklusif.
Kajian yang bertajuk ‘Redefining Connectivity: Measuring Meaningful Connectivity in Malaysia’ ini dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ia diketuai oleh Dr. Masrina Nadia Mohd Salleh dari Pusat Kajian Perniagaan Global dan Ekonomi Digital, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dengan kerjasama penyelidik dari beberapa universiti.
Menurut Dr. Masrina, kajian ini memberi fokus kepada usaha menyeluruh untuk memahami pengalaman sebenar rakyat Malaysia dalam mengakses, menggunakan, dan mendapat manfaat daripada capaian digital.
“Selain itu, kajian ini juga mengumpulkan pandangan daripada pemegang taruh utama seperti kerajaan dan agensi kerajaan (dari sudut regulatory), serta industri termasuk syarikat teknologi dan syarikat telekomunikasi.
“Pendekatan ini memastikan dapatan kajian bukan sahaja mencerminkan realiti rakyat, tetapi juga mengambil kira perspektif dasar, pelaksanaan, dan keupayaan industri dalam membentuk ekosistem kesalinghubungan digital yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Tambahnya, pendekatan inklusif ini melibatkan sesi libat sama dengan lima kumpulan pengguna utama, iaitu, komuniti orang kurang upaya, belia, wanita, warga emas dan Orang Asli.
“Dengan kerjasama dan sokongan Unit Perkhidmatan Sokongan OKU di UKM dan UIA, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli, kumpulan penyelidik dapat mengumpul data bagi memastikan suara dan pengalaman semua segmen masyarakat didengari serta dianalisis secara sistematik melalui kaedah kualitatif (temu bual) dan kuantitatif (soal selidik).
“Selain itu, kajian ini turut menggunakan panduan daripada International Telecommunication Union (ITU) dalam merangka kerangka kajian, agar selaras dengan standard global telekomunikasi dan prinsip inklusiviti digital,” jelasnya.
Menurut Dr. Masrina Nadia, penyelidikan ini sedang berjalan dan sesi libat sama di pelbagai lokasi telah menunjukkan bahawa tahap ‘meaningful connectivity’ berbeza mengikut kumpulan pengguna. Persoalan kajian merangkumi ketersedian capaian internet yang ‘meaningful’, kos langganan, tahap keselamatan siber, serta kesediaan peranti.
Dr Masrina berkata, selain dapat mendengar secara langsung keperluan dan cabaran masyarakat, kajian ini juga dapat memperkukuh data nasional.
“Penyelidikan ini dijangka memberi impak besar kepada pembentukan dasar negara dalam bidang pendigitalan, keterangkuman digital, dan kesejahteraan digital rakyat.
“Melalui pembiayaan MCMC dan sokongan pelbagai pihak, projek ini menjadi platform penting untuk memahami realiti rakyat dan memastikan pembangunan digital Malaysia benar-benar berasaskan keperluan komuniti,” katanya.

