Oleh Asmahanim Amir dan Murniati Karim
BANGI, 2 Disember 2025 – Datuk Johan Idris dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkuat kuasa 1 Disember 2025. Pelantikan ini menggantikan Prof. Emeritus Dr. Mohamad Abd Razak.
Datuk Johan Idris kini berkhidmat sebagai Pengerusi Maxis Bhd, Pengerusi (Bukan Eksekutif) KPMG di Malaysia, Ahli Lembaga Dana Pampasan Pasaran Modal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, anggota Majlis Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan juga terlibat dalam pelbagai badan profesional dan institusi kewangan/pendidikan termasuk sebagai Ahli Senat, Board of Trustees dan Professor of Practice di International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia.
Sebelum ini, Datuk Johan telah memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah UKM, Rakan Kongsi Pengurusan KPMG di Malaysia, ahli Lembaga KPMG Asia Pasifik, ahli Majlis Global KPMG Antarabangsa dan Presiden Institut Akauntan Malaysia.
Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh mewakili seluruh warga UKM mengucapkan tahniah atas pelantikan ini.
Prof. Dr. Sufian percaya dengan kepimpinan Datuk Johan, beliau dapat menyumbang kepada pencapaian akademik serta meningkatkan kecemerlangan UKM.
“Pengalaman lebih 35 tahun Datuk Johan serta penglibatannya dalam pelbagai industri dan sektor di peringkat tempatan dan antarabangsa akan menyokong pembangunan strategik universiti,” katanya.
Dengan pelantikan ini, UKM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof. Emeritus Dr. Mohamad Abd Razak atas khidmat baktinya sepanjang tempoh perkhidmatan sejak 1 November 2021.
