Oleh Dr. Khairul Anwar Ishak dan Prof. Dr. Syarul Nataqain Baharum
Ditubuhkan pada tahun 2005, Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya tahun ini yang diserlahkan melalui aspirasi penyelidikan dan pencapaian yang membanggakan.
Dengan moto “INBIOSIS Melangkaui Zaman,” institut ini terus memperkukuhkan peranan dalam memajukan agenda kelestarian dan inovasi terkehadapan kebangsaan dalam bidang Biologi Sistem dan Biologi Sintetik terutamanya dalam cabaran besar negara dalam isu keterjaminan makanan dan kesejahteraan biodiversiti negara.
Komitmen institut dalam memacu penyelidikan negara terserlah melalui kerjasama penyelidikan bersama pihak industri dan penggerak utama teknologi terkemuka negara, antaranya PETRONAS (PRSB), FGV Research and Development Sdn Bhd, Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd, Medika Natura Sdn Bhd.dan USMARI Sdn Bhd.
Kepimpinan INBIOSIS di peringkat kebangsaan juga terserlah melalui aktiviti berteraskan R&D&I bersama agensi berkepentingan seperti Invest Selangor Sdn Bhd, Malaysian Palm Oil Organization (MPOB), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Malaysian Natural Products Society (MNPS).
Keterlibatan aktif INBIOSIS di peringkat antarabangsa telah ditonjolkan melalui jaringan kerjasama bersama institusi-institusi global termasuk Asian Synthetic Biology Association (ASBA, Asia pasifik), Korea University (Korea Selatan), SookMyung Women’s University (Korea Selatan), Oral State University (Rusia), Saitama University (Jepun), Anhui University of Chinese Medicine (China), Australian National Phenome Centre (ANPC Australia), Universitas Halu Oleo (Indonesia), Chulalongkorn University (Thailand) dan University of Manchester (UK).
Selain tu, ekosistem penyelidikan dan pengajaran INBIOSIS telah mendapat pengiktirafan berprestij negara dan jurnal tersohor global. Pertamanya di Malaysia, INBIOSIS menjadi institut pertama yang telah melahirkan dua penerima Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) dalam bidang Biologi anjuran Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI).
Pada tahun 2020, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin merupakan penerima pertama ASMN dan Prof. Madya Dr. Goh Hoe Han sebagai penerima ASMN 2025. Kesarjanaan Felo Penyelidik Utama INBIOSIS, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Jantan turut diiktiraf sebagai Top 2% Saintis Dunia oleh Elsevier (Stanford University) untuk tiga tahun berturut-turut dari tahun 2023 hingga tahun ini.
Sebagai institusi pemangkin bakat baharu dan teknologi terkehadapan, warga muda INBIOSIS turut menyerlah dalam aktiviti STEM dan pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pelajar pasca-siswazah INBIOSIS mencipta sejarah tersendiri melalui pencapaian membanggakan pasukan IGNITE UKM (INBIOSIS Genetic Innovation & Technology Engineers Universiti Kebangsaan Malaysia) yang meraih Anugerah Emas dan Pemenang trek Protein Design (Outstanding Brightness) dalam pertandingan antarabangsa SynBio Challenges 2025 di Shenzhen, China.
INBIOSIS juga menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa Asian Regional Conference in Systems Biology (ARCSB) 2025 bersama MNPS yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Syarul Nataqain Baharum, menghimpunkan lebih 200 penyelidik dalam dan luar negara. Kerjasama ini dapat memperkukuh kerjasama penyelidikan Biologi Sistem dan Sebatian Semulajadi di peringkat Asia.
Keterlibatan INBIOSIS dalam program jaringan alumni dan aktiviti bakat STEM telah diketengahkan melalui Program Makan Malam Sambutan 20 Tahun INBIOSIS dan Hari STEM UKM dengan kerjasama Pusat PermataPINTAR Negara, pelajar sekolah dari beberapa negeri dan komuniti Orang Asli Grik, Perak.
Sambutan 20 tahun ini menjadi pemacu kecemerlangan buat INBIOSIS untuk terus memberikan yang terbaik dalam penyelidikan, melahirkan penyelidik berimpak kepada sains demi kesejahteraan sejagat.

