Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 22 Januari 2025 – Kedai Buku Karya@UKM menjadi platform bagi menampilkan pelbagai judul terbitan UKM, termasuk karya akademik, ilmiah dan kreatif hasil penerbitan warga universiti.
Terletak di aras 1 bangunan Canselori, penubuhan Karya@UKM oleh Penerbit UKM ini merupakan satu inisiatif strategik UKM bagi memperkukuh ekosistem penerbitan dan penyebaran ilmu.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Johan Idris, Penerbit UKM telah menerbitkan sebanyak 224 buah buku pada tahun 2025.
Justeru, pembukaan kedai buku ini adalah langkah wajar bagi memudahkan capaian kepada buku-buku terbitan Penerbit UKM oleh semua pihak, jelasnya.
“Saya berharap kedai buku Karya@UKM ini akan menjadi lebih dari sekadar sebuah kedai buku yang menawarkan sumber rujukan dan bahan bacaan yang berkualiti tetapi juga satu ruang perkongsian inspirasi dan pemikiran kritis antara pelajar, pustakawan, warga akademik, penggiat industri, peminat buku dan individu yang cintakan ilmu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerbit UKM, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah berkata kedai buku universiti berperanan sebagai ruang yang menghimpunkan karya yang dihasilkan dalam dunia akademik.
Tambahnya, hal Ini memudahkan masyarakat memperoleh bahan tersebut untuk menambah pengetahuan dan memahami isu semasa.
Atas peranan ini, nama Karya@UKM dipilih sebagai identiti kedai buku baharu Penerbit UKM.
“Kedai buku ini menjadi pelengkap kepada peranan Penerbit UKM dalam menerbitkan, memasarkan dan menyebarluaskan hasil penyelidikan serta penulisan warga universiti bagi memperkasa budaya ilmu merentas pelbagai disiplin dan pemikiran kritis dalam kalangan khalayak umum,” katanya.

