HCTM Perkasakan Keselamatan Pesakit Menerusi Bengkel CVC

Oleh Mohammad Nizam Mokhtar
Foto Emma Yuhanis Maamor

KUALA LUMPUR,  27 Januari 2026 – Bagi memperkukuh piawaian keselamatan pesakit dan mengurangkan risiko jangkitan kuman di hospital, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, menganjurkan bengkel Central Venous Cannulation (CVC) Workshop.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Prof. Madya Dr. Muhammad Maaya semasa menyampaikan ucapan perasmiannya berkata bengkel itu merupakan benteng pertahanan utama dalam aspek keselamatan pesakit.

Menurut pengerusi bengkel tersebut, Dr. Iskandar Khalid, inisiatif itu penting bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit tidak terjejas apabila mereka dipindahkan keluar dari zon kritikal.

“Kami mahu memperkasakan barisan hadapan di wad umum supaya mereka mempunyai keyakinan dan kompetensi yang sama seperti di ICU.

“Matlamat kami jelas, iaitu untuk memastikan sebarang risiko jangkitan dapat dikesan dan dicegah lebih awal, kerana keselamatan pesakit adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” jelas Dr. Iskandar.

Program tersebut dijayakan menerusi kerjasama strategik dengan peneraju teknologi perubatan, B. Braun, dan dihadiri oleh 60 orang profesional kesihatan yang terdiri daripada doktor bius  serta kakitangan kejururawatan bagi sesi peningkatan kemahiran secara intensif.

Kateter CVC merupakan peranti perubatan kritikal yang digunakan untuk pemberian ubat-ubatan serta pemantauan hemodinamik bagi pesakit yang tidak stabil.

Walaupun secara lazimnya peranti ini dikendalikan di Unit Rawatan Rapi (ICU), perubahan dalam tuntutan penjagaan kesihatan semasa menyaksikan peningkatan jumlah pesakit yang memakai CVC dirawat di wad-wad umum.

Perubahan ini menuntut tahap kewaspadaan yang lebih tinggi di seluruh hospital, justeru itu, bengkel CVC ini bermatlamat untuk merapatkan jurang kemahiran, sekali gus memastikan jururawat dan doktor di wad umum memiliki kecekapan dalam penyenggaraan CVC setanding dengan rakan setugas mereka di unit rawatan kritikal.

Modul latihan direka khusus berteraskan tiga tonggak keselamatan utama, iaitu penggunaan panduan ultrasound bagi memastikan pemasangan tiub yang tepat dan selamat serta meminimumkan trauma; penerapan protokol steril yang ketat dalam kalangan kakitangan semasa penukaran balutan dan pengendalian tiub serta usaha mengurangkan risiko Central Line-Associated Bloodstream Infections (CLABSI), iaitu satu komplikasi yang boleh dicegah namun berpotensi membawa maut.

Inisiatif ini menyerlahkan komitmen berterusan HCTM terhadap tadbir urus klinikal dan pendidikan perubatan berterusan, sekali gus memastikan institusi ini kekal di hadapan dalam aspek keselamatan pesakit di Malaysia.

Leave a Reply