Oleh Muhammad Amirul Haikal Mahadi
Foto Ummie Izzati Ali Hisham
BANGI, 30 Januari 2026 – Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima lawatan rasmi daripada Gifu Prefectural Kanō High School, Jepun bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama dua hala antara kedua-dua institusi pendidikan.
Program lawatan itu memberi pendedahan kepada pelajar Kanō High School mempraktikkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam suasana akademik sebenar menerusi program Kano High School Visit to FST 2026.
Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FST, Prof. Madya Dr. Siti Aishah Hasbullah, dalam ucapan perasmiannya berkata program tersebut membawa makna yang lebih luas berbanding sebuah lawatan rasmi semata-mata.
“Program ini merupakan satu inisiatif yang bermakna dan mencerminkan kepentingan penglibatan global dalam bidang pendidikan.
“Kerjasama antara Kanō High School dan UKM menjadi platform unik kepada para pelajar untuk meneroka perspektif baharu, bertukar idea-idea inovatif serta membina kefahaman yang merentas perbezaan budaya,” katanya.
Semasa lawatan itu, turut diadakan Sister-School Agreement yang dimeterai buat julung kalinya antara FST dan Gifu Prefectural Kanō High School, Jepun.
Majlis penyerahan perjanjian tu disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Siti Aishah yang mewakili Dekan FST dan Timbalan Pengetua Gifu Prefectural Kanō High School, Kubota Takitoshi.
Pemeteraian perjanjian tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada peluasan kerjasama dalam bidang akademik dan kebudayaan, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran pelajar, aktiviti pembelajaran berasaskan inkuiri serta pendedahan antarabangsa yang berupaya membentuk pelajar dan graduan yang berdaya saing serta berpandangan global.
Hubungan strategik antara FST dan Gifu Prefectural Kanō High School telah terjalin sejak tahun 2024 melalui lawatan rasmi pertama Kanō High School ke FST, dan FST juga telah mengadakan lawatan balas pada tahun 2025 melalui Program PMFST-INSPIRE 2.0, yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa FST.

