Oleh Mohd Norhafizun Mohd Saman
KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara bidang oftalmologi dan optometri menerusi penganjuran OPTIMAX Optometry Symposium 2026 yang diadakan di Kampus Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Simposium ini menjadi platform perkongsian ilmu klinikal terkini serta medan memperkukuh kolaborasi antara ahli akademik, pengamal klinikal dan pihak industri.
Pendekatan bersepadu ini menyokong pembangunan kompetensi profesional dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan mata secara menyeluruh.
Menurut Dekan FSK,Prof Dr Suzana Shahar, penganjuran simposium ini mencerminkan komitmen fakulti dalam membina ekosistem pembelajaran yang dinamik dan relevan dengan perkembangan semasa bidang penjagaan mata.
“Kerjasama strategik bersama OPTIMAX membuka ruang kepada pemindahan kepakaran klinikal, pendedahan teknologi terkini serta pengukuhan hubungan profesional antara oftalmologis dan optometris.
“Usaha ini menyokong pembangunan perkhidmatan penjagaan mata yang lebih holistik dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OPTIMAX Eye Specialist, Sandy Tan berkata kerjasama dengan UKM adalah komitmen industri dalam menyokong pembangunan profesional optometris.
“Simposium ini menghimpunkan kepakaran klinikal dan akademik dalam satu platform yang praktikal.
“Perkongsian ilmu dan pengalaman seperti ini penting untuk memperkukuh amalan klinikal serta memperkasa peranan optometris dalam sistem penjagaan mata,” ujarnya.
Bagi seorang peserta yang juga alumni UKM, Nurul Aini Yusoff dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai (alumni 2001), beliau menyifatkan penyertaannya sebagai pengalaman bermakna.
“Program ini mengimbau kenangan ketika bergelar pelajar lebih dua dekad lalu, namun kini hadir sebagai pengamal optometri.
“Saya berpeluang bertemu rakan lama serta menimba ilmu daripada pakar bertauliah. Kolaborasi antara institusi dan universiti, melibatkan pengamal sektor swasta dan kerajaan, amat padu dan memberi manfaat besar kepada perkembangan profesion,” katanya.
Program anjuran bersama antara Program Optometri dan Sains Penglihatan FSK dengan OPTIMAX Eye Specialist dan Association of Malaysian Optometrists (AMO) itu menghimpunkan 189 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, optometris, alumni serta rakan industri.

