FSK Tingkatkan Kompetensi Petugas PPDK

Oleh Nur Rafidah Mohamed
Foto oleh Fakulti Sains Kesihatan

KUALA LUMPUR, 19 Februari 2026 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM dan SIHAT@UKM menganjurkan bengkel intensif kepada petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi menyokong kanak-kanak berkeperluan khas di peringkat komuniti.

Bengkel ini melibatkan 11 petugas dari PPDK Semenyih yang melalui transformasi menjadi pengamal intervensi profesional melalui latihan intensif.

Menurut Penolong Dekan Klinikal FSK, Profesor Madya Dr. Masne Kadar, kompetensi baharu ini kritikal bagi membolehkan mereka mengendalikan kes-kes perkembangan kompleks yang memerlukan ketelitian tinggi seperti Autism Spectrum Disorder (ASD), Cerebral Palsy (CP), dan pelbagai masalah pertuturan.

Tambahnya, salah satu objektif utama program ini adalah untuk merubah persepsi dan peranan petugas PPDK secara fundamental.

“PPDK yang sering kali dilihat sebagai “penjaga rutin” kini melalui proses transformasi menjadi pengamal intervensi profesional menerusi latihan intensif ini.

“Melalui pemindahan ilmu ini, kita membina ekosistem sokongan yang lestari agar anak-anak istimewa ini mendapat peluang pemulihan yang terbaik di persekitaran mereka sendiri,” katanya.

Program ini melibatkansembilan orang pakar dan fasilitator UKM membimbing petugas secara langsung.

Dr. Masne berkata pendekatan “learning by doing” ini menjamin setiap teknik klinikal dapat dikuasai secara tepat sebelum diaplikasikan di PPDK masing-masing.

“Apabila petugas PPDK mampu mengendalikan masalah tingkah laku atau latihan fizikal secara mandiri dan profesional, ia mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam yang semakin sesak, menjadikan proses pemulihan lebih efisien, setempat, dan kos-efektif,” katanya.

Beliau berharap agar inisiatif ini menjadi sinar baharu bagi anak-anak istimewa, di mana setiap interaksi di PPDK kini menjadi peluang pemulihan yang lebih bermakna di bawah seliaan petugas yang telah diperkasakan sepenuhnya.

Leave a Reply