48 Graduan Tamatkan Pengajian Sijil Profesional Medikolegal

Oleh Dr Nor Afifi Razaob dan Prof Madya Dr Noor Hazfalinda Hamzah
Foto Shah Zakwan Zamer Hashim dan Muhammad Faiz Hatim Abdul Ghafar

BANGI, 23 Februari 2026 – Seramai 48 graduan menamatkan pengajian Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan bagi memperdalamkan pengetahuan  tentang medikolegal dan bagaimana ia memberi impak besar terhadap profesion penjagaan kesihatan.

Program sijil profsional yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) itu telah memasuki kohort ke-5.

Pada majlis graduasi tersebut, pasangan suami isteri, Dr Ahmad Fadhli Sakri, yang merupakan Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Tengku Nur Aisyah Tengku Ibrahim, Pegawai Perubatan Unit Medikolegal di hospital yang sama mencuri tumpuan apabila menjadi antara lapan peserta terbaik program.

Dr Ahmad Fadhli Sakri berkata penyertaan mereka berdua dalam program tersebut merupakan satu pengalaman yang amat menarik memandangkan sebelum ini tiada latihan formal berkaitan bidang medikolegal diterima.

Menurut beliau, program itu memberi peluang yang sangat baik untuk menimba ilmu serta meningkatkan kefahaman dalam pengurusan kes-kes medikolegal.

“Antara cabaran utama yang kami hadapi ialah bagaimana untuk membahagikan masa antara komitmen kerja, pembelajaran dan masa bersama keluarga.

“Walaupun bagaimanapun, saya amat menggalakkan mereka yang berminat untuk mengikuti kursus medikolegal ini kerana ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermanfaat.

“Ilmu yang diperoleh membantu kami menguruskan kes-kes medikolegal dengan lebih berkesan sekali gus memastikan perkhidmatan hospital dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Tengku Nur Aisyah Tengku Ibrahim berkata kursus tersebut bersifat praktikal dan sangat relevan dalam amalan harian sebagai seorang doktor.

Menurutnya, walaupun dia terlibat secara langsung dalam pengurusan kes-kes medikolegal di hospital, masih terdapat banyak aspek dan pengetahuan yang perlu dipelajari.

“Program ini membuka ruang pembelajaran yang luas, termasuk perkongsian pengalaman dan ilmu bersama rakan-rakan peserta. Saya memperoleh banyak pengetahuan baharu yang dapat diaplikasikan secara langsung dalam tugas harian,” katanya.

Seorang lagi peserta, Dr Nasuha Yaacob, pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di HSNZ berkata penglibatan beliau dalam program sijil profesional tersebut amat relevan dengan tugasan harian yang melibatkan pengurusan klinikal pesakit serta isu-isu medikolegal.

Katanya, pengetahuan dan kefahaman dalam bidang medikolegal sangat penting, khususnya dalam membantu pengamal perubatan dan pengurusan hospital menangani pelbagai isu berkaitan keselamatan pesakit, dokumentasi klinikal dan pengurusan risiko.

“Sebagai Pengurus Kualiti HSNZ, saya terlibat secara langsung dalam mengendalikan insiden-insiden keselamatan pesakit yang berlaku di hospital.

“Oleh itu, ilmu medikolegal ini amat diperlukan bagi memastikan setiap proses kerja dilaksanakan dengan lebih sistematik, berlandaskan perundangan serta selari dengan keperluan tadbir urus dan kualiti penjagaan kesihatan,” katanya.

Para peserta juga menganggap sesi Courtroom Advocacy yang diadakan pada akhir program sebagai satu peluang bermakna untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dan mereka kini lebih bersedia untuk menghadapi cabaran medikolegal yang semakin rumit dalam penjagaan kesihatan.

Leave a Reply