Pengarah Institut Islam Hadhari Dilantik Sebagai Education Ambassador Uzbekistan To Malaysia

Oleh Institut Islam Hadhari

BANGI, 10 April 2026 – Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (Hadhari-UKM), Prof. Dato’ Dr. Fariza Md. Sham dilantik sebagai Education Ambassador Uzbekistan to Malaysia.

Pelantikan ini disampaikan oleh  Duta Uzbekistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Karomidin Gadoev di majlis Malaysia-Uzbekistan EduCultural Day @ UTeM, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Fariza, pelantikan itu merupakan pengiktirafan yang diberikan atas komitmen yang diberikan dalam hubungan institusi pendidikan kedua-dua negara dalam tempoh hampir 10 tahun.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan serta Duta Uzbekistan ke Malaysia atas pelantikan ini.

“Saya akan terus memberikan komitmen penuh kepada UKM khususnya, serta institusi pendidikan di Malaysia secara amnya dalam menjalin kerjasama strategik dengan institusi pendidikan di Uzbekistan,” katanya.

Beliau berkata pelantikan itu akan menjadi jambatan penting dalam memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang pendidikan.

“Terima kasih juga kepada pengurusan tertinggi UKM dan seluruh warga Hadhari-UKM yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam agenda antarabangsa universiti.

“Pelantikan ini juga menjadi platform penting untuk membantu meningkatkan kedudukan UKM, khususnya dalam subjek Theology, Dignity & Religious Studies dalam penarafan antarabangsa,” katanya.

Pelantikan Prof Dato’ Dr Farizan itu merupakan satu inisiatif strategik yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan akademik.

Uzbekistan yang terkenal dengan warisan ketamadunan Islam yang kaya dengan tradisi keilmuan yang unggul dilihat sebagai rakan strategik yang berpotensi tinggi untuk jaringan kerjasama berterusan bersama Malaysia melalui Institut Islam Hadhari dan UKM.

Sebagai Education Ambassador, Prof Dato’ Dr Fariza Md Sham akan memainkan peranan penting dalam memperluas jaringan kerjasama antara institusi pendidikan kedua-dua negara. Ini termasuklah memudah cara hubungan akademik, merancang dan menyelaras program bersama seperti persidangan, penyelidikan, mobiliti pelajar dan pensyarah, serta memperkukuh pertukaran ilmu dan kepakaran.

Selain itu, pelantikan ini juga dijangka dapat merancakkan inisiatif Edutourism melalui penganjuran lawatan akademik, program mobiliti jangka pendek, serta aktiviti yang menggabungkan elemen pendidikan, budaya dan warisan kedua-dua negara.

Secara keseluruhannya, pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan Hadhari-UKM dalam memperkasa jaringan akademik antarabangsa serta memperkukuh hubungan strategik Malaysia dan Uzbekistan ke arah kerjasama yang lebih mampan dan berimpak tinggi.

Leave a Reply