Oleh Murniati Karim
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 30 April 2026 — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah Organisasi Terunggul (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN) yang dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pencapaian ini meletakkan UKM sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) yang tersenarai sebagai finalis bagi kategori tersebut yang dianugerahkan pingat Perak. Dalam kategori yang sama, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merangkul pingat emas dan syarikat animasi Monsta Sdn Bhd memperoleh pingat gangsa.
Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI-UKM), Prof. Dr. Sawal Hamid Md Ali berkata penganugerahan ini menunjukkan komitmen berterusan UKM dalam pengurusan harta intelek dan keupayaan untuk mengkomersialkan teknologi kepada pasaran dan industri.
“Dalam sesi pembentangan kepada MyIPO, kami mengetengahkan pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan bagi memastikan hasil penyelidikan universiti mampu menembusi pasaran dan memberi impak kepada industri serta masyarakat.
“Penilaian bagi anugerah ini merangkumi keseluruhan ekosistem pengurusan inovasi, bermula daripada proses pendaftaran harta intelek sehinggalah kepada usaha peningkatan nilai dan penskalaan ke arah pengkomersialan.
“Aspek yang dinilai termasuk keupayaan institusi dalam mengurus pendaftaran harta intelek secara sistematik, memperkasa hasil penyelidikan melalui program pembangunan kapasiti serta memastikan inovasi yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada produk atau teknologi yang berpotensi untuk dipasarkan,” katanya.
Selain itu, Profesor dan Pakar Perunding Kanan Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Prof. Dr. Mohd Yazid Bajuri turut meraih pingat gangsa bagi Anugerah Wira Inovatif (Paten) menerusi produk MyB Prosthetic Limb.
Menurut beliau, MyB Prosthetic Limb merupakan inovasi dalam bidang prostetik dan ortotik yang direka khusus untuk individu dengan amputasi bawah lutut melalui syarikat pemula, MyB Innovation Sdn. Bhd.
“Prostetik ini dilengkapi dengan fungsi pergerakan pada sendi buku lali bagi membolehkan pergerakan yang lebih fleksibel dan semula jadi.
“Dengan adanya fungsi ini, pengguna lebih mudah melakukan pergerakan di lantai sama ada untuk solat, yoga dan aktiviti harian lain
“Saya berharap agar produk ini dapat sampai ke masyarakat dan memberi manfaat yang terbaik, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara,” katanya.
Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

