Kedai Oleh-Oleh UKM Jadi Hab Pembekalan Produk Cenderamata Rasmi UKM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 12 Mei 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Kedai Oleh-Oleh UKM dalam mewujudkan sebuah hab pembekalan produk cenderamata rasmi UKM.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman berkata pembukaan Kedai Oleh-Oleh UKM itu dapat memperkukuh penjenamaan UKM serta meningkatkan keterlihatan produk rasmi universiti di dalam dan di luar negara, dengan membekalkan produk cenderamata berteraskan warisan alam Melayu serta elemen seni dan budaya tempatan.

“Kedai ini bukan sahaja menawarkan barangan cenderamata, tetapi menjadi platform memperkenalkan identiti UKM kepada pelawat, alumni dan masyarakat umum.

“Saya amat menghargai kolaborasi bersama ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu), yang membawa dimensi warisan, budaya dan falsafah Melayu ke dalam setiap produk yang ada di kedai ini,” katanya.

Tambah beliau, ATMA melalui kepakaran yang ada telah menyumbang kepada penghasilan produk-produk cenderamata yang bukan sahaja bernilai estetika, malah sarat dengan elemen seni, budaya dan falsafah Melayu yang tinggi nilainya.

Kolaborasi antara ATMA, UKM Holdings Sdn Bhd dan UKM Dagang Sdn Bhd itu mencerminkan satu pendekatan yang holistik di mana warisan tradisi tidak sekadar dipelihara, tetapi diolah dan diinovasikan agar selari dengan kehendak serta citarasa semasa.

“Kolaborasi ini juga adalah pendekatan yang tepat dengan ungkapan ”Warisan tidak sekadar dipelihara, tetapi diinovasikan. Kita mengekalkan akar budaya, sambil bergerak ke hadapan dengan nilai yang relevan.

“Lebih penting, kedai ini menjadi titik sentuh antara UKM dan masyarakat kerana ia bukan sahaja menjual produk, tetapi menyampaikan cerita tentang siapa kita, tentang warisan kita dan tentang aspirasi masa depan UKM,” jelasnya.

Katanya, beliau yakin, usaha ini akan terus berkembang dan menjadi model bagaimana universiti boleh mengimbangi komersialisasi dan pemeliharaan warisan secara mampan.

Leave a Reply