Oleh Oleh Dr Muhammad Siddiq Fadhil Sutrisno
DIDCOT, OXFORDSHIRE, 19 Mei 2026 – Dua penyelidik dari Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaksanakan eksperimen penyelidikan sains bahan kuantum di ISIS Neutron and Muon Source iaitu salah satu kemudahan sumber neutron paling maju di dunia.
Eksperimen yang berlangsung dari 5 hingga 14 Mei 2026 itu dikendalikan oleh Science and Technology Facilities Council di bawah UK Research and Innovation di Makmal Rutherford Appleton, Oxfordshire.
Penyelidikan tersebut melibatkan Dr Muhammad Siddiq Fadhil Sutrisno dan Dr Muhammad Asif Ahmad Khusaini yang menjalankan kajian menggunakan instrumen MARI, iaitu spektrometer neutron berkepekaan tinggi bagi meneliti sifat bahan teknologi kuantum yang berpotensi digunakan dalam pembangunan pemancar foton tunggal.
Menurut Dr Muhammad Asif, bahan teknologi kuantum kini menjadi tumpuan dunia kerana potensinya dalam pembangunan komunikasi kuantum, pengkomputeran kuantum serta teknologi penderiaan optik berketepatan tinggi.
“Kajian menggunakan neutron membolehkan saintis memahami tingkah laku atom dan getaran (fonon) kekisi bahan pada skala kuantum,” katanya.
Dr Muhammad Asif berkata penyelidikan itu bukan sahaja menghasilkan data saintifik baharu, malah membuka ruang jaringan kerjasama antarabangsa dan pengalaman penyelidikan berteknologi tinggi kepada penyelidik UKM.
“Kami pulang bukan sekadar membawa data, tetapi juga pengalaman, jaringan penyelidikan dan keyakinan bahawa penyelidikan yang dibangunkan di UKM mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Antara dapatan awal eksperimen ialah pemetaan faktor struktur dinamik S(Q,E) bagi kaca tellurite pada suhu 6 Kelvin.
Analisis tersebut berjaya mengenal pasti beberapa ciri spektrum utama yang berkait dengan getaran (fonon) struktur bahan, termasuk parameter penting yang menentukan potensi bahan itu sebagai pelantar hos pemancar foton tunggal.
Data eksperimen kini sedang dianalisis di UKM dan hasil kajian dijangka diterbitkan dalam jurnal saintifik antarabangsa berimpak tinggi.
Sepanjang eksperimen dijalankan, kumpulan penyelidik UKM dibimbing oleh saintis instrumen MARI, Dr Gøran Nilsen yang mempunyai kepakaran dalam bidang fizik magnet eksotik dan cecair spin kuantum.
Menurut beliau, akses kepada kemudahan sumber neutron bertaraf antarabangsa seperti ISIS membuka peluang kepada saintis untuk menjalankan penyelidikan yang sukar dilaksanakan di makmal biasa.
“Kemudahan seperti ini membolehkan persoalan saintifik kompleks diterokai dengan lebih mendalam melalui teknologi neutron berketepatan tinggi,” katanya.
Kumpulan penyelidik UKM turut mengadakan sesi perbincangan bersama Dr Philip King, Pengarah Bersekutu (Perkongsian dan Program) di ISIS Neutron and Muon Source, bagi meneroka potensi kerjasama penyelidikan jangka panjang antara ISIS dan komuniti saintifik Malaysia.

